Politik

Hak Melayu ‘menipis’ jika dikompromikan

DATUK Seri Mohd Redzuan Yusof meminta ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai contoh pemimpin yang memahami perjuangan asal orang Melayu.

Ini sebagai suatu dorongan untuk parti itu mendepani cabaran-cabaran getir politik dan ekonomi semasa yang mendatang.

Justeru, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka itu mengingatkan sesiapa pun yang terpilih mengetuai cawangan, bahagian mahupun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kelak harus mengutamakan kualiti dalam mengisi wawasan kerajaan hari ini dari dihambat kumpulan atau anasir `yang memiliki banyak ideologi, kemahuan dan nafsu’.

“Sesiapa yang lebih baik, anda (ahli-ahli Bersatu) angkatlah (pilih). Tanggungjawab orang yang hendak pimpin, kita kena beritahu mereka untuk perkasakan orang Melayu.

“Jika hak Melayu dikompromikan, maka menipislah ia.

“Justeru, laksanakanlah tanggungjawabanda dengan berhemah dan matang dalam memilih pemimpin yang benar-benar memahami dasar dan perjuangan parti,” kata beliau kepada Suara Merdeka di Melaka baru-baru ini.

Proses penamaan calon bagi pemilihan Bersatu negeri Melaka bermula hari ini di Hotel AMES MITC, Ayer Keroh dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Mohd Redzuan menawarkan diri bertanding Ketua Bersatu Cawangan Kampung Pinang, Masjid Tanah; Ketua Bersatu Bahagian Masjid Tanah dan Naib Presiden Bersatu Pusat.

Pemilihan peringkat cawangan dijadualkan berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac, diikuti pemilihan bahagian 18 April sebelum disusuli peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada Jun.

Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah 189 dengan 363,167 ahli mengambil bahagian dalam persidangan.

Mohd Redzuan berkata, dalam usaha memperjuangkan masa depan orang Melayu, Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan harus peka akan untung nasib bangsa Melayu.

“Bangsa Melayu adalah penduduk majoriti di negara Malaysia dan juga dilindungi oleh Perlembagaan. Walaupun orang Melayu mempunyai kelebihan itu, mereka tidak menggunakannya sebagai senjata besar (untuk kelebihan diri sendiri) dalam memastikan terus wujud bangsa Malaysia di negara ini,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian ahli-ahli Bersatu supaya mengekang usaha pihak tertentu yang kelihatan gelojoh untuk menyegerakan peralihan kepimpinan sedia ada.

“Bersatu kena bijak menggerakkan kumpulan yang boleh mengangkat orang yang lebih berpengalaman untuk memimpin negara selepas Tun (Dr. Mahathir Mohamad),” kata beliau.

Mengenai cakap-cakap kemungkinan wujud `kem-kem’ dalam pemilihan Bersatu ketika ini, kata Mohd Redzuan:

“Tidak dinafikan kebanyakan penaja yang dilantik ada hasrat masing-masing sebab parti ini baru sahaja hendak mulakan pemilihan yang pertama.

“Masing-masing ada jiwa besar dan cita-cita tinggi serta harapkan sesuatu. Itu hasrat mereka yang dilantik tetapi ada juga mahu lantikan itu kekal.

“Dengan kemungkinan ini, wujudlah papan-papan untuk kekalkan jawatan dilantik.

“Namun jangan lupa, bukan sahaja jawatan untuk diisi tetapi tanggungjawab besar untuk terus menyokong kepimpinan di atas dalam meneruskan dasar yang ada.” – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button