Nasional

Barisan pengasas Bersatu berpeluangkah dipilih?

ADAKAH kalangan pemimpin pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar diberi peluang oleh ahli  dalam pemilihan  parti itu, sekali gus meraih tempat  untuk  terus memperkasakan parti yang mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut?

Pemilihan tertinggi parti itu pada Jun depan akan menyaksikan semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sesi 2019-2022 dari peringkat  25 ahli MPT, naib-naib presiden, timbalan hinggalah presiden  dipertandingkan.

“Bersatu berada pada landasan yang baik untuk terus berkembang. Parti ini masih memerlukan barisan pemimpin yang pernah bertindak sebagai pengasasnya untuk  terus menguatkan struktur dalaman parti dan menambah keanggotaannya.

“Bersatu harus ingat, meskipun pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai perdana menteri, Bersatu  masih tetap parti komponen PH yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terendah,  26 kerusi berbanding PKR, 50 kerusi dan DAP, 42,”  kata penganalisis kepada Suara Merdeka hari ini.


Antara yang menjadi pelopor penubuhan Bersatu yang membawa kepada penubuhan parti itu pada 8 September 2016  adalah daripada kalangan tujuh ahli jawatankuasa penaja dan lima yang dilantik.

Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.  Dari kalangan  mereka yang dilantik termasuklah Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof dan Datuk Marzuki Yahya.

Tiga tenaga pengasas Bersatu yang keluar parti  ialah  Datuk Hamidah Osman, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Anina Saadudin.

Buat pertama kali sejak ditubuhkan empat tahun lalu, Bersatu bakal menghadapi pemilihan di semua peringkat bermula penamaan calon hari ini 26 Januari.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada.

Pemilihan peringkat cawangan   dijadualkan berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac, diikuti pemilihan bahagian yang akan memilih barisan MPT  pada 18 April depan.

Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah 363,167 ahli.Persidangan cawangan akan didahului  persidangan Srikandi dan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi serta Armada Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Srikandi serta Armada Bahagian masing-masing.

Mesyuarat dan Perhimpunan Agung pertama Bersatu akan berlangsung selama empat hari dari 25  hingga 28 Jun. – SM

(Visited 435 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button