BeritaPendidikan

Guru perlu terima senario baharu pendidikan dengan lebih terbuka – Raja Muda Perlis

Guru perlu menerima senario baharu pendidikan dunia dengan lebih terbuka dan mempersiapkan para pelajar dengan kemahiran ‘survival’ ataupun ‘kelangsungan hidup’ bagi menghadapi cabaran dunia hari ini dan masa hadapan.

Langkah tersebut sekaligus membantu membentuk generasi digital yang mampu ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ setanding dengan negara maju yang lain.

Amalan sistem pendidikan kini membuka ruang pada para guru untuk meneroka strategi dan teknik yang lebih menarik dan berkesan menerusi pelbagai pelantar pembelajaran.

Namun, kaedah atau pedagogi yang digunakan dalam melaksanakan strategi pembelajaran tersebut bergantung kepada kreativiti serta pendekatan guru semasa menjalankan sesi PdPR yakni ‘Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan ‘Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis, Tahun 2021’ yang diadakan secara hibrid iaitu melalui siaran atas talian (online streaming) dan pandu lalu (drive through) pada malam semalam.

Hadir ke majlis sambutan berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad. Terdahulu turut menyampaikan ucapan ialah Menteri Besar Dato’ Seri Azlan Man dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda turut mengingatkan guru-guru bahawa kejayaan mereka hari ini bertitik tolak dari pendidikan yang mereka sendiri terima, justeru baginda berharap agar para pelajar turut beroleh kejayaan di masa hadapan hasil dari pendidikan yang baik.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, bersesuaian dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru”, guru-guru haruslah berkemampuan mendepani pelbagai cabaran dan mempunyai kekuatan rohani yang utuh. Di samping itu, guru juga perlu menguasai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam menerokai dunia tanpa sempadan pada hari ini.

“Sebagai seorang pendidik, semestinya menjadi keutamaan untuk sentiasa mewujudkan landasan pendidikan yang berkualiti sesuai dengan transformasi dan inovasi semasa.

Situasi ini memerlukan para guru sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki serta sentiasa meletakkan teras “Mentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” dalam apa jua yang dilakukan,” tegas baginda.

(Visited 710 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button