Nasionalpilihan

Guru besar dirai bersara menaiki kereta kuda

Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, Sharipah Mohd, 58, diraikan penuh meriah dalam majlis persaraan bersama guru-guru di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri hari ini.

Lebih manis Sharipah dan suaminya, Ishak Ismail berpakaian pengantin diarak menaiki kereta kuda dari Hotel Jawhar MAIM sejauh hampir 1 kilometer.

Bagi anak jati kelahiran Kampung Gelam itu merasakan majlis tersebut bakal meninggalkan kenangan manis yang sukar untuk dilupakannya sepanjang tempoh 35 tahun enam bulan bergelar pendidik.

“Selama tempoh itu macam-macam cabaran dan dugaan yang saya tempohi. Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik sebenarnya.

“Untuk menjadi pendidik ia memerlukan satu jiwa yang teguh dan utuh khususnya apabila dilantik menjadi guru besar selama enam tahun di tiga buah sekolah di Melaka.

“Sebab sebagai guru besar saya perlu menjadi contoh, menjadi ketua dan segala-gala yang baik datang dari saya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Persaraan Selaut Budi Seribu Memori di Pantai Puteri di sini hari ini.

Sharipah yang bergelar sebagai pendidik pada 1988 berkata, dia sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakan guru meraikannya dalam satu majlis yang indah.

Menurutnya, dia merasa amat sedih terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai guru dan guru besar sepanjang 35 tahun berkhidmat di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan berakhir di Melaka.

“Saya tak tahu lepas bersara ini nak buat apa biasanya banyak masa saya di sekolah tetapi mulai esok saya akan duduk di rumah,” ujarnya yang bersara berkuatkuasa semalam.

Sharipah berkata, hajatnya untuk bersara di sekolah asal dia mula mendapat pendidikan awal dari darjah satu hingga enam di SK Kampung Gelam menjadi kenyataan.

Dia menjadi guru besar selama enam tahun di tiga buah sekolah iaitu di SK Kem Gerakhas Kem Sungai Udang, SK Bachang dan SK Kampung Gelam.

“Cuma saya ingin nasihatkan kepada bakal guru agar memasang niat yang baik dalam apa-apa bidang kita ceburi kerana niat yang baik mendatangkan kesihatan,” ujarnya. – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button