Gundah hati Fauziah Nawi
KUALA LUMPUR – Kegundahan dan kegelisahan hati seorang ibu sukar untuk dizahirkan menerusi kata-kata namun hanya Allah sahaja yang maha mengetahui gelora rasa di dalam dada figura seni Fauziah Nawi.
Sehingga saat ini, beliau masih belum mendapat apa-apa perkhabaran berhubung anaknya, sutradara Mohd. Firdaus Mohamad Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Pitt Hanif.
Pitt masih belum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat yang gigih berusaha mencari suami kepada aktres Farah Ahmad.
Farah yang berada di lokasi kejadian di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang sejak semalam dengan ditemani oleh tiga orang cahaya mata pasangan ini juga mengharapkan agar suaminya segera ditemui.
Ibu dan menantu serta anak-anak berharap Pitt ditemui selamat.
Fauziah tidak dapat turun ke lokasi kemalangan sebaliknya menunggu di rumahnya di sini dengan penuh harapan.
Pagi semalam selepas Pitt selesai mengarahkan penggambaran filem berjudul Coast Guard, melakukan aktiviti riadah memancing bersama jurukamera.
Bot jenis fibre yang dinaiki mereka terbalik dan putus dua menyebabkan kedua-duanya tercampak di dalam sungai.
Difahamkan jurukamera berkenaan selamat manakala Pitt masih hilang.
Ketika kejadian arus sungai dikatakan agak deras.