Ekonomi

Guna solar penyelesaian kepada pemansuhan subsidi elektrik

PARA pengguna yang bakal terbeban ekoran pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada lagi subsidi untuk mereka yang yang guna banyak elektrik boleh memikirkan sumber alternatif daripada tenaga boleh baharu (TBB) iaitu dengan memasang panel solar.

Ir. Guntor Tobeng

Profesor Adjung di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng berkata, pemansuhan subsidi akan menyaksikan jumlah penggunaan elektrik bagi mereka yang menggunakan pendingin hawa akan meningkat tinggi.

Katanya, ditambah pula dengan cuaca panas, majoriti rumah di negara ini terpaksa memasang pendingin hawa dan sudah tentu itu akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik.

“Bagi mereka yang menggunakan banyak elektrik seperti kata Perdana Menteri rumah yang ada tiga kipas dan empat pendingin hawa, alternatif untuk penjimatan jangka panjang adalah dengan memasang solar.

“Pengguna tenaga elektrik dari sumber solar ini terbukti menjimatkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bil elektrik bulanan dan ada juga yang sampai 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya, Anwar berkata tiada lagi subsidi elektrik bagi kediaman yang menggunakan bekalan elektrik yang tinggi pada masa depan.

Katanya, kediamaan yang dikategorikan sebagai ‘penggunaan elektrik tinggi’ tidak seharusnya menikmati subsidi tarif elektrik disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, B40 dan M40 masih kekal menikmati subsidi dan tiada kenaikan tarif elektrik, namun kediaman yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.

Guntor yang juga merupakan pengusaha dalam industri solar berkata, walaupun pelaburan awal untuk pemasangan solar dianggap tinggi namun untuk jangka panjang ia amat menjimatkan.

Untuk memudahkan pemasangan solar di rumah-rumah katanya, pada masa ini terdapat pelbagai pakej untuk meringan beban pengguna termasuk melalui pembiayaan oleh bank dan melalui skim kad kredit.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas daripada mereka yang sudah menggunakan sumber tenaga itu bil elektrik mereka setiap bulan memang sangat rendah dan mereka boleh menggunakan apa sahaja perkakasan elektrik termasuk pendingin hawa tanpa rasa bimbang bil yang tinggi. – SM

BACA Gading Kencana rancang bina ladang solar di Kedah

BACA Gading Kencana, Affin Bank tawar pasang solar tanpa faedah

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button