Politik

Guan Eng tak malu, berlagak seperti ketua menteri – Ka Siong

MENTERI Pengangkutan Wee Ka Siong melabelkan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng sebagai orang yang paling tidak mahu malu.

Presiden MCA itu menyifatkan Guan Eng berlagak seperti dia menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam isu perkhidmatan feri lama di negeri tersebut.

“Nampaknya, tingkah laku Lim Guan Eng masih berlagak sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, walhal Ketua Menteri Pulau Pinang yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan tidak lain tidak bukan adalah Chow Kon Yeow.

“Apa jua keputusan mengenai perkhidmatan feri, saya dan Tengku Zafrul berbincang terus dengan Ketua Menteri yang sahih, Chow Kon Yeow!

“Ramai orang Pulau Pinang keliru seolah-olah di Pulau Pinang mempunyai dua orang ketua menteri iaitu Chow Kon Yeow sebagai CM hari bekerja manakala Lim Guan Eng adalah CM hari minggu,” kata Ka Siong.

Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP mempertikaikan keputusan Kerajaan Persekutuan  enggan meneruskan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, adalah wajar perkhidmatan feri itu diteruskan memandangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sudah memperuntukkan RM30 juta untuk pemodenan perkhidmatan feri terbabit.

Justeru dia tidak faham mengapa Ka Siong bermati-matian untuk ‘mematikan’ feri ikonik yang menjadi tarikan negeri tersebut dengan feri katamaran.

“Lim Guan Eng adalah orang yang paling tak tahu malu! Pertama, kerajaan Pakatan Harapan juga telah bersetuju untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan katamaran. Adik perempuan Lim Guan Eng, yang juga Senator sekarang, iaitu YB Lim Hui Ying juga bersetuju dengan langkah ini. .

“Kedua, orang yang benar-benar merosakkan nilai warisan berharga Pulau Pinang adalah Lim Guan Eng. Cuba jawab, siapakah yang melakukan penambakan tanah dan memusnahkan bukit-bukau di Pulau Pinang?

“Ketiga, tidakkah menggantikan perkhidmatan feri yang terdedah kepada kerosakan dengan katamaran merupakan langkah yang lebih praktikal untuk melindungi keselamatan orang ramai dan lebih bermanfaat bagi industri pelancongan dan pengangkutan Pulau Pinang?” jawab Ka Siong.

Bermula 1 Januari ini perkhidmatan feri lama Pulau Pinang akan digantikan dengan perkhidmatan feri katamaran.

Tidak seperti feri lama yang membawa kenderaan beroda empat, feri katamatan hanya akan membawa penumpang dan kenderaan beroda dua.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button