Politik

Air: MB Kedah perlu rujuk sejarah – Ramasamy

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor digesa meyemak semula sejarah sebelum medakwa Pulau Pinang di mahkamah berhubung isu caj air.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy medakwa tiada perjanjian atau dokumen yang sah menunjukkan bahawa Pulau Pinang berhutang dengan Kedah.

Beliau berkata, sebelum tahun 1982 wilayah utara Sungai Muda sejauh 30.5 kilometer adalah milik Pulau Pinang melalui Perjanjian Anglo-Siam 1869.

“Namun, pada tahun 1982, dengan menandatangani memorandum persefahaman antara Kedah dan Pulau Pinang untuk memudahkan pembinaan Benteng Rantau Panjang, sempadan antara kedua-dua negeri dipindahkan ke selatan, menetapkan sempadan di tengah Sungai Muda.

“Pada tahun 1985, kedua-dua Kedah dan Pulau Pinang menandatangani Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) tahun 1985 atau Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf titik tengah Sungai Muda sebagai garis sempadan kedua-dua negeri,” kata Ramasamy.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Perai dari DAP itu, Pulau Pinang telah menyerahkan tanah seluas 27.7 ekar kepada Kedah sebagai jaminan air yang menjadi prasyarat untuk kelulusan pinjaman Bank Pembangunan Asia.

Melalui perjanjian itu, Pulau Pinang bersetuju melakukan penjajaran semula batas negeri dan penyerahan tanah sebagai pertukaran untuk jaminan air dari Kedah.

“Sekiranya Kedah mahukan caj bagi membekalkan air kepada Pulau Pinang, adakah ia bersedia untuk menyemak semula sejarah untuk memastikan berapa banyak tanah yang diserahkan oleh Pulau Pinang kepada Kedah pada masa lalu.

“Selanjutnya, adakah Kedah bersedia untuk menolak Perjanjian Anglo-Siam tahun 1869, perjanjian berikutnya dengan Pulau Pinang dan Akta Pengubahan Sempadan tahun 1985 dan kesemua pewartaan berkaitan dengan perjanjian tersebut,” tanya Ramasamy.

Ramasamy juga berkata, Skim Air Sungai Muda telah dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada tahun 1973.

Tegas beliau, tidak ada apa-apa dalam pernyataan perasmian menunjukkan bahawa Kedah berhak mendapat bayaran dari Pulau Pinang kerana mengambil air dari Sungai Muda.

“Dia harus diingatkan bahawa pengambilan air ini membantu mencegah banjir semasa musim hujan di selatan Kedah.

“Kesimpulannya, sementara saya mengalu-alukan Sanusi untuk membawa Pulau Pinang ke mahkamah, saya ingin menasihatinya untuk mneyemak semula sejarah untuk memastikan sama ada Kedah berhak mendapat bayaran untuk bekalan air dari Pulau Pinang,” kata Ramasamy.-SM

(Visited 420 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button