Graduan perlu kongsi kemahiran dengan komuniti – Raja Muda Perlis
Pemindahan pengetahuan atau kepakaran yang dimiliki oleh para graduan baru hari ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi membantu dalam meningkatkan lagi keupayaan sesebuah komuniti contohnya dengan mewujudkan peluang-peluang seperti kursus kemahiran kepada generasi muda di dalam komuniti masing-masing terutamanya bagi mereka yang tidak bernasib baik serta tercicir di dalam pelajaran.
Di samping itu, tidak mengira di mana sahaja berada mereka wajar mengambil peluang untuk memahami permasalahan komuniti setempat dengan membantu mengisi ‘kelompangan’ yang ada dalam usaha pembangunan bersama yang boleh dilaksanakan dalam komuniti melalui kelebihan yang mereka miliki.
Demikian titah oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena kempen ‘Perlis Hebat; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ menerusi titah perutusan sempena memperingati ‘Hari Kemahiran Belia Sedunia’ atau ‘World Youth Skills Day’ yang disambut pada 15 Julai saban tahun.
Sambutan tersebut bertujuan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan kepentingan mempersiapkan para belia dengan kemahiran yang bersesuaian untuk pengambilan pekerjaan, pekerjaan yang baik dan juga keusahawanan.
Untuk rekod, pada tahun 2016, seramai 259 juta anak muda di dunia diklasifikasikan sebagai tidak berada dalam pekerjaan, pendidikan mahupun latihan – jumlah ini kian meningkat kepada anggaran 267 juta pada tahun 2019 dan ia dijangka akan terus meningkat kepada sekitar 273 juta pada tahun 2021 ini.
Tambah Tuanku Raja Muda lagi, ‘Setiap program belia yang dianjurkan selepas ini haruslah yang benar-benar mempunyai nilai yang boleh dibangunkan bukan sahaja kepada pemegang taruh di dalam sesebuah komuniti, tetapi juga yang memberikan manfaat secara bersama serta pelbagai matlamat khususnya yang boleh mempertingkatkan komuniti khususnya dari segi kemahiran.