NasionalNegeriPolitik

GPS Junjung Titah Agong, Kekal Sokong PN Sehingga Ditentukan Keabsahannya!

Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

GPS juga menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

Setiausaha Agung, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, GPS menyifatkan keputusan Perdana Menteri untuk mengusulkan undi percaya terhadap dirinya pada sidang Parlimen bulan depan, sebagai satu tindakan berani dan bijak, serta pendekatan terbaik berlandaskan perlembagaan.

GPS juga menyifatkan tindakan mengheret rakyat dalam krisis politik dan cubaan menumbangkan kerajaan dalam keadaan rakyat dan negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19, hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Keutamaan GPS ketika ini adalah rakyat dan menangani masalah pandemik, mempercepatkan proses vaksinasi serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.

“GPS berharap semua pihak menghentikan dahulu politicking dan semua ahli Parlimen boleh menentukan pendirian masing-masing sama ada mahu menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, satu perjumpaan khas bagi membincangkan senario terkini politik di negara ini telah diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Sarawak.

Perjumpaan yang melibatkan hala tuju kerajaan Malaysia itu dihadiri pengerusi GPS, Datuk Patinggi Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg serta ahli-ahli Parlimen GPS.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button