Nasionalpilihan

Google beri penghormatan, siar Doodle Mak Ungku pada enjin carian internet

KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun kelahiran Tokoh Budayawan Melayu, Allahyarhamah Azah Aziz atau dikenali sebagai Mak Ungku yang ke-94 hari ini, Google memberi penghormatan menerusi Doodle atau lakaran ikon negara itu pada enjin carian internet berkenaan.

Pengguna melayari laman web itu dapat melihat Azah Aziz dalam imej tersendiri iaitu lengkap berbaju kurung tradisional kerana itu adalah identitinya yang begitu cintakan seni dan tekstil.

Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, yang juga anak Mak Ungku, berkata sewaktu kecil, beliau sering melihat ibunya menulis mengenai tekstil, pakaian, cara ia dipakai dan tentang warisan budaya.

Katanya, ibunya percaya, jika anda ingin memakai pakaian moden, anda harus memakainya sama ada pakaian moden Barat atau dari mana-mana negara lain, tetapi tidak seharusnya mengubah struktur pakaian tradisional untuk memastikan keasliannya dikekalkan.
“Ibu saya mempunyai buku yang sangat unik menggabungkan karya klasik dan puisi ditulis ratusan tahun lalu, memberi rujukan kepada tekstil dan pakaian untuk gambaran sangat mendalam mengenai keindahan dan elemen istimewa berkaitan tekstil indah ini.

“Saya mahu seluruh dunia tahu mengenai warisan budaya Melayu yang terkandung dalam tekstil dan pakaian. Oleh itu, saya akan memastikan buku itu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

“Buku ini kini yang sudah 80 peratus diterjemah ke bahasa Inggeris akan diterbitkan tidak lama lagi dan diedarkan secara meluas,” katanya.

Zeti berkata, koleksi pakaian Mak Ungku juga akan dihadiahkan kepada Muzium Negara berkaitan koleksi tekstil, pakaian dan aksesori (yang akan diumumkan tidak lama lagi).

“Ini supaya rakyat Malaysia dan seluruh dunia dapat berkongsi warisan yang indah ini melalui pandangannya, melihat kecantikan dan bagaimana ia harus dihargai, difahami dengan lebih mendalam serta dihayati supaya dapat dipelihara.

“Ini kerana ia bertahan selama beratus-ratus tahun, jadi ia perlu diteruskan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai hubungan dengan ibunya, Zeti berkata, ibunya adalah segala-gala baginya kerana beliau seorang pejuang dan mempunyai semangat yang kuat serta sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Ibu juga sangat liberal dalam pemikirannya mengenai

banyak isu dan menulis dengan penuh semangat mengenai hak wanita, hak kanak-kanak. Namun, saya tidak akan menggambarkannya sebagai seorang feminis tetapi lebih sebagai pendukung isu-isu wanita dan berkaitan kanak-kanak,” katanya.

Azah Aziz adalah perintis wartawan wanita dan ikon budaya Malaysia yang diingati atas usaha sepanjang hayatnya dalam pemeliharaan budaya, tekstil dan pakaian tradisional Melayu untuk generasi akan datang.

Selain itu, Azah Aziz juga pengasas Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dan menjadi presiden pertamanya (1971-1978), juga antara pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), sebuah pertubuhan kebajikan untuk menangani kebajikan dan keperluan wanita serta kanak-kanak.

Dalam bidang penulisan, Azah Aziz juga mengarang lebih 10 buku termasuk jilid mengenai tekstil dan pakaian Melayu bertajuk Rupa dan Gaya: Busana Melayu yang membincangkan pengaruh nilai budaya, adat resam tradisional dan perkembangan sejarah terhadap evolusinya.

Melalui Akaz, syarikat penerbitannya sendiri, Azah Aziz menjadi antara wanita pertama di Malaysia yang menerbitkan buku puisi, permainan dan lagu untuk kanak-kanak, antaranya ialah Adik Comel, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak dan banyak lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo, berkata Google Doodle adalah paparan pertama yang dilihat berjuta pengguna di mana ia memaparkan detik-detik untuk memberi inspirasi, kejutan, kegembiraan, menimbulkan rasa ingin tahu dan menyemarakkan nostalgia serta kebanggaan negara.

Katanya, justeru sempena tarikh kelahiran ikon negara ini selain berada dalam sambutan Hari Kemerdekaan ke 65, penghormatan ini diberikan kerana sumbangan besar Azah Aziz terhadap pemuliharaan budaya Melayu dan tekstil yang menjadi satu elemen penting di dalam negara.

“Di negara ini, kami melihat Doodle mendapat sambutan hangat dalam kalangan komuniti terutama ikon yang sehingga kini dikenali semua orang seperti P Ramlee, Saloma, Sudirman dan ramai lagi.

“Saya berharap Doodle Azah Aziz ini boleh memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi akan datang,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button