Golongan belia diseru mengambil peluang dalam kestabilan Kerajaan Perpaduan untuk mereka menjadi anak muda yang terjamin masa depan kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh..
Menurutnya, mereka turut disaran menceburi pelbagai bidang pendidikan yang disediakan kerajaan sama ada di peringkat profesional atau separuh profesional serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau berkata, komuniti belia adalah amat penting sebagai aset negara dan segala usaha bagi meningkatkan potensi, bakat, pengukuhan jati diri, penyegaran pemikiran dan keterampilan kepimpinan.
Jelasnya, golongan itu perlu diperkasa dan ditingkatkan seiring dengan semarak
penonjolan melalui idealism, aktivisme dan intelektualisme yang merupakan citra orang
muda.
“Belia adalah penjana masa depan negara dan bakal menjadi pemimpin negara satu hari nanti. Justeru mereka perlu dididik dan diberikan pendidikan khas untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin.
“Jadi golongan belia ini digalakkan menceburi mana-mana pertubuhan belia di negeri ini untuk mengelakkan daripada mereka melakukan perkara-perkara negatif dalam masyarakat yang sedang melanda sekarang.
“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan sentiasa memberi sokongan penuh kepada golongan belia untuk terus bergiat aktif dalam menjalankan program dan khidmat kepada masyarakat,” ujarnya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka (HBN23) di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam serta Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negara, Dr. Zainah Shariff.
Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, beliau amat berharap komuniti belia negeri ini mencontohi sifat keperibadian pahlawan tersohor Zaman Kegemilangan Melayu Melaka yang serba hebat dalam semua aspek.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong agenda pembangunan belia di negeri ini dan bersikap terbuka menerima segala idea, cadangan, pandangan mahupun kritikan yang membina demi kemajuan dan kemakmuran negeri ini,” katanya.
Pada majlis tersebut Ab. Rauf turut menyampaikan Anugerah Belia Perdana peringkat negeri tersebut yang dimenangi Mohammad Fiza Mohd. Daud dan Nur Amni Abdul Raman bagi kategori lelaki dan wanita.
Masing-masing menerima piala, sijil dan hadiah wang tunai RM3,000 manakala bagi kategori pertubuhan belia pula dimenangi Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Pulau Sebang, Alor Gajah menerima RM10,000. – SM