Sukan

Giggs ditahan polis didakwa serang teman wanita

RYAN Giggs tidak akan menerajui Wales untuk tiga perlawanan akan datang selepas jurulatih itu ditahan polis ekoran dakwaan dia telah menyerang teman wanitanya, Kate Grenville.
Polis menerima aduan kerana ada berlaku gangguan di sebuah kediaman dekat Worsley pada Ahad malam (awal pagi Isnin waktu Malaysia).
Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) mengesahkan Robert Page akan mengambil tanggungjawab yang digalas Giggs itu untuk perlawanan menentang Amerika Syarikat (AS), Ireland dan Finland.
“Persatuan Bola Sepak Wales dan Ryan Giggs telah mencapai persetujuan bersama bahawa dia tidak akan terbabit dalam kem antarabangsa akan datang.
“Kami mencapai persetujuan itu demi kepentingan pasukan yang perlu melakukan persediaan menjelang perlawanan antarabangsa.
“Robert Page dengan sokongan Ryan, akan mengambil alih pasukan untuk tiga perlawanan akan datang menentang AS, Republik Ireland dan Finland, sambil dibantu oleh Albert Stuivenberg.
“Untuk perlawanan akan datang, pengumuman berhubung skuad The Cymru bakal dibuat pada 5 November ini.
“FAW tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut buat masa ini,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak Wales.
Wakil Giggs pula berkata, dia menafikan dakwaan tersebut dan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis.
“Giggs menafikan semua dakwaan serangan yang dibuat ke atasnya. Dia sedia memberikan kerjasama dengan polis dan akan membantu siasatan yang sedang berjalan,” kata kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Giggs.
Difahamkan, Giggs telah menjalin hubungan cinta dengan Grenville selama tiga tahun, tetapi pasangan itu pernah putus hubungan sebelum menyambung kembali jalinan kasih mereka.
Legenda Manchester United berusia 46 tahun itu berada di Hotel Football dekat Manchester untuk menyaksikan perlawanan Red Devils menentang Arsenal, Ahad lalu, sebelum menuju ke Stock Exchange Hotel yang merupakan miliknya bersama rakan kongsi.
“Polis telah dihubungi pada pukul 10.05 malam hari Ahad (6.05 pagi waktu Malaysia) berhubung gangguan yang berlaku. Seorang wanita berusia 30-an ditimpa kecederaan ringan, tetapi dia tidak memerlukan sebarang rawatan.
“Seorang lelaki berusia 46 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan serangan di bawah seksyen 47 dan seksyen 39 kerana serangan biasa,” kata Polis Greater Manchester.
Lelaki itu telahpun dibebaskan menerusi jaminan, sementara menunggu siasatan lanjut dilaksanakan. – Mirror – SM

 

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button