Bencana alamLuar Negara

Gempa bumi Turkiye: Serantau Muslim seru seluruh dunia bantu dan bersolidariti

PENGERUSI Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian gempa bumi di Turkiye awal pagi.

Serantau Muslim turut berdukacita dalam kejadian itu di mana sekurang-kurangnya 1,444 orang maut dan 3,531 cedera serta berpuluh lagi mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Antara yang terkorban ialah anak-anak kecil, wanita dan semua pekerja yang berada di kawasan berkenaan.

Gempa bumi tersebut telah menjejaskan hampir 10 wilayah termasuk wilayah Osmaniye, Sanliurfa dan lain-lain lagi yang terletak berhampiran sempadan Turkiye dan Syria.

Gempa berukuran 7.8 magnitud yang melanda tenggara Turkiye telah mengejutkan penduduk yang kini berhadapan dengan cuaca sejuk, hujan dan salji.

“Serantau Muslim turut dimaklumkan bahawa usaha mencari masih giat dijalankan di celah-celah longgokan konkrit dan logam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebanyak 34 bangunan di wilayah selatan Osmaniye dilaporkan musnah manakala 16 lagi bangunan di Tenggara Sanliurfa runtuh.

Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu juga memaklumkan gempa tersebut telah menjejaskan 10 wilayah berhampiran dan amaran peringkat tertinggi juga telah dikeluarkan.

Oleh yang demikian, Serantau Muslim menyeru seluruh komuniti dunia bersolidariti membantu mereka yang terjejas dengan kejadian gempa ini.

“Serantau Muslim berharap komuniti dunia bersatu padu menggembeleng tenaga membantu mereka yang terjejas dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, doa dan sebagainya agar mereka di sana dapat bangkit dan meneruskan aktiviti harian mereka seperti sedia kala.

“Serantau Muslim juga berdoa semua urusan dipermudahkan dan semua yang masih tertimbus dijumpai dalam keadaan selamat,” katanya. – SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button