Gelar Al Jazeera al jahiliah: Harleen terharu dapat sokongan
PENGACARA Bernama TV, Harleena Pahlavy yang menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah terharu dengan sokongan yang beliau terima.
Sokongan terhadap Harleena datang selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mahu mengambil tindakan terhadap beliau kerana mengeluarkan gelaran berkenaan ketika bersiaran.
“Saya sangat terharu dengan sokongan yang saya terima. Terima kasi” ciap Harleena dalam Twitternya sebentar tadi.
Dalam ciapan yang lain pengacara berkenaan berkata, dia tidak gentar dan hanya seorang patriotik.
“Tidak gentar dan patriotik di saluran TV Malaysia mempunyai akibatnya sendiri,” kata pengacara sambilan itu di Twitter lewat semalam.
Saifuddin dilaporkan kesal dengan tindakan Harleena sebagai hos sebuah program bual bicara Bernama TV yang mengutuk saluran berita Al Jazeera sebagai Al-Jahiliyah.
Gelaran itu diberikan oleh Harleena susulan laporan kontroversinya yang mendakwa Malaysia mendiskriminasi pendatang asing dalam usaha menangani Covid-19.
“Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu, tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu,” kata Sifuddin.
Terdahulu, Herleena berkata: “Saya rasakan Al Jazeera, atau selepas isu ini, saya boleh katakan bahawa Al Jahiliyah ini tidak mempunyai asas ataupun mungkin etikanya kurang. Kalau kita google pun, mereka memang banyak kontroversi dan kritikan yang melanda dirinya.”
Beliau kemudiannya mengakhiri program Malaysia Petang dengan berkata: “Saya Leena Pahlavy, Al Jazeera, ‘you shut up’.”