Nasional

Setem Bunga-Bunga Liar bertajuk ‘Bunga-Bunga Liar Siri 3′ dilancarkan

Selepas tiga dekad, Pos Malaysia keluarkan setem Bunga-Bunga Liar

POS Malaysia melancarkan koleksi terbaharu setem Bunga-Bunga Liar bertajuk ‘Bunga-Bunga Liar Siri 3’ selepas hampir tiga dekad sejak edisi sebelum ini dikeluarkan pada 1992.

Ketua Pemasaran Kumpulannya, Schrene Goh berkata, koleksi itu ditawarkan mulai hari ini menerusi kedai dalam talian Pos Malaysia di www.eziemall.com dan di semua pejabat pos seluruh negara.

Beliau berkata, bagi siri ketiga itu,  Pos Malaysia mengetengahkan spesies baharu bunga-bunga liar memaparkan khazanah alam semulajadi Malaysia.

“Siri setem ini dengan tiga rekaan lembaran mengandungi 10 setem; setiap satu mengetengahkan bunga Senduduk, Ara Songsang dan Bunga Kancing Baju.

“Sebanyak 750,000 keping setem akan dikeluarkan dalam denominasi 60 sen, RM1.30 dan RM1.50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk melengkapi siri itu, Pos Malaysia turut mengeluarkan 20,000 Lembaran Mini (MS) dan dicetak dengan kesan khas “Spot UV” dan potongan terap “die-cut” untuk menyerlahkan keindahan bunga Simpoh Air.

Untuk makluman, Lembaran Mini ditawarkan pada harga RM5 setiap satu dan dalam masa yang sama, 27,000 keping Sampul Surat Hari Pertama (FDC) turut dikeluarkan pada harga 50 sen setiap satu.

“Set folder lengkap boleh dibeli pada harga RM54.40 yang mengandungi tiga lembaran setem dengan 10 keping setem cetakan timbul, satu MS, satu FDC dengan tiga keping setem dan satu FDC dengan MS serta folder. Folder juga boleh dibeli secara berasingan pada harga  RM6 setiap satu (hanya 1,500 folder ditawarkan).

“Bagi pengumpul dan peminat setem, siri ini didatangkan dengan tanda pembatalan eksklusif yang mengetengahkan satu lagi bunga liar, Dandelion, sekali gus melengkapi nilai estetika koleksi itu,” katanya. – SM

(Visited 503 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button