KesihatanNasional

Gelandangan HIV juga dapat suntikan vaksin

NASIB gelandangan di ibu kota yang dijangkiti HIV tidak diabaikan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 selepas penilaian dibuat oleh doktor pakar.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, ia selaras dengan usaha kementeriannya untuk memastikan semua gelandangan ibu kota divaksin menerusi Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0.

GAMBAR dari FMT

“Tumpuan diberikan kepada semua gelandangan di ibu kota yang telah disahkan sesuai untuk divaksin oleh doktor”.

“Manakala bagi gelandangan yang mempunyai penyakit HIV, mereka perlu dibuat ‘pre-assessment’ terlebih dahulu oleh doktor pakar yang merawat bagi mengenal pasti tahap imuniti sedia ada di dalam darah mereka.

“Sekiranya bersesuaian mereka boleh divaksin mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada FMT.

Annuar turut memaklumkan seramai 119 orang gelandangan melengkapkan suntikan vaksin dos kedua semalam selepas menerima dos pertama mulai 27 Mei lalu.

Katanya, manakala 133 orang gelandangan lagi selesai menjalani ujian saringan Covid-19 dan akan divaksin dos pertama pada Selasa depan menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah Fasa Kedua.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 252 orang gelandangan akan menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah merupakan antara tujuh kandungan Inisiatif Wilayah Cakna (IWC) 5.0 yang diumum 25 Mei lalu.

Annuar berkata, langkah memberikan vaksin kepada golongan gelandangan dimulakan lebih awal selepas mengambil kira risiko jangkitan dan penularan Covid-19 membabitkan kumpulan itu.

“Mereka sering terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika dibiarkan berkeliaran tanpa perlindungan dan risiko penyebaran wabak adalah tinggi,” ujar beliau.

Annuar berkata, pihaknya juga mensasarkan untuk menyelesaikan suntikan dua dos vaksin kepada golongan gelandangan yang dipulihkan menjelang hujung Julai depan. – SM

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button