Hiburan

Gantung vape, Shaheizy Sam akui kelalaian diri dan minta maaf

SUSULAN daripada kecaman netizen berkenaan isu menggantung rokok elektronik (vape) ketika siaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) semalam, pelakon, Shaheizy Sam tampil meminta maaf.

Menurut pelakon tersebut, dia sedar ramai yang mempertikaikan tindakannya itu seolah-olah mempromosikan budaya menghisap rokok elektronik.

“Saya minta maaf kepada ABPBH dan TV3 di atas kecuaian dan kelalaian diri saya. Memang tiada orang lain yang salah melainkan diri saya sendiri.

“Saya berasa gugup semalam untuk tampil di atas pentas kerana di belakang tabir memang tiada orang sehingga saya terlupa apa yang tergantung di leher saya,” katanya.

Sam juga memberitahu yang dia tidak berniat untuk mempromosikan budaya menghisap rokok elektronik.

Jelasnya, apa yang tergantung di lehernya itu adalah di atas keperluan dirinya sendiri.

Shaheizy Sam ketika ditemui Suara Merdeka beberapa bulan lalu.

“Apa yang ada itu memang untuk kegunaan sendiri. Saya sudah gantung vape selama hampir setahun.

“Memang saya perlukan banyak sebab bila bateri habis, saya ada yang lain,” ujarnya.

Tambahnya, dia meminta maaf kerana di atas kecuaiannya telah mengundang perkara yang tidak elok kepada ABPBH dan TV3 selaku televisyen penyiar.

Semalam, netizen dan akaun Facebook yang cukup prihatin mengenai isu kesihatan iaitu Public Health Malaysia (PHM) telah menegur tindakan suami kepada Syatilla Melvin itu.

“Sedih sangat melihat budaya buruk dipromosikan sebegini. Bukan tak ada ahli produksi yang boleh menyaring penampilan selebriti sebelum live di kaca tv.

“Usah sembang mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), jika promosi vape sebegini pun boleh lepas dalam tayangan siaran langsung di TV,” tulis pengendali akaun berkenaan. -SM

(Visited 939 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button