Politik

Gajah hitam dan Dego Ride

SAYA memang sedar para pegawai ahli politik kerajaan baharu memang gelojoh dan ghairah membeli kereta Toyota Velfire.

Saya sendiri pernah menumpang naik, memang sangat selesa untuk bergerak ke merata tempat. Bagi saya ia sangat sesuai untuk kegunaan mereka yang sentiasa bergerak ke merata tempat untuk pelbagai urusan.

Selain selesa kenderaan ini juga mempunyai kuasa enjin yang cukup untuk memecut bila diperlukan, selain mempunyai kawalan baik serta stabil.

Bagi saya tidak ada masalah jika menteri dan para pegawai menteri untuk membeli kenderaan pelbagai guna mewah ini.

Selain ia dapat merancakkan industri penjualan kereta, ia juga dapat memberi keselasaan kepada wakil rakyat yang perlu bergerak ke banyak tempat dalam masa satu hari bagi melaksanakan tugas mereka.

Jadi tidak timbullah wakil rakyat keletihan dan tidak dapat tiba ke lokasi majlis tepat pada waktunya.

Selain itu kereta yang luas ini memudahkan wakil rakyat untuk bersalin pakaian di dalam kenderaan sahaja mengikut kesesuaian majlis, jadi tidaklah berlaku wakil rakyat hadir di majlis dengan kod pemakaian yang tidak sesuai.

Tetapi saya tidak ada masalah jika mereka mahu pakai GMC sekalipun, tetapi mereka perlu memastikan rakyat mendapat hidup yang selesa, harga minyak diturunkan sehingga RM1 seliter, tol RM1 atau dihapuskan terus di seluruh negara dan begitu juga PTPTN dihapuskan, serta pelbagai lagi janji di dalam manifesto Pakatan Harapan bagi pilihan raya yang lalu digunaikan.

Sejuta peluang pekerjaan juga diwujudkan dan bukannya sejuta pekerja kehilangan pekerjaan.

Bukan rakyat terpaksa menaiki Dego Ride iaitu servis pengangkutan awam menggunakan motosikal ketika para menteri dan pegawai kenderaan menjalar di jalan raya.

Janganlah pula pelbagai elaun kakitangan kerajaan dipotong dan selepas ini tiada lagi kakitangan kerajaan sepenuh masa, sebaliknya yang tinggal hanya kakitangan kontrak.

Jika semua itu telah dicapai, bukan kereta mewah gajah hitam yang rakyat reda untuk wakil rakyat, mereka boleh memilih untuk naik kereta terbang sekali pun ok.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button