Gadis hina polis di Facebook didenda RM10,000, penjara 3 bulan
GADIS yang memuat naik status menghina polis kerana marah diarahkan pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 didenda RM10,000 dan penjara tiga bulan.
Nursahira Mohd Mizuar, 20, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Mengikut kertas pertuduhan, Nursahira melalui aplikasi Facebook secara sedar membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada jam 10.12 malam, 27 Mac lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hukuman ke atas Nursahira bermula pada tarikh dia ditahan dan jika gagal membayar denda, gadis tersebut akan dihukum penjara dua bulan.
Sementara itu di Johor, 16 individu di Kota Tinggi, didenda sebanyak RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan boleh dikenakan hukuman penjara selama 15 hari sekiranya gagal membayar denda.
Mereka merupakan sebahagian daripada 23 individu yang mengaku bersalah Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor atas pertuduhan ingkar PKP hari ini.
Tujuh lagi merupakan remaja di bawah umur. Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 bagi setiap seorang remaja terbabit. Remaja terbabit perlu membuat laporan akhlak dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu seramai seramai 526 individu ditahan di Johor kerana langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah terbaharu adalah tangkapan harian dari jam 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah malam tadi melibatkan 97 orang.
“Sesiapa melakukan kesalahan tidak mematuhi perintah mana-mana pegawai yang diberikan kuasa boleh disabit mengikut Seksyen 24 Akta 342 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mengikut Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 boleh disabitkan dengan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM1,000. -SM