Ekonomi

Fitrah, filem pendek raya terbitan Bank Rakyat bakal menyentuh hati penonton

BANK RAKYAT menampilkan kelainan sempena sambutan Syawal tahun ini menerusi penghasilan filem pendek yang memaparkan nilai kekeluargaan dalam mengharungi ranjau kehidupan. Filem pendek bertajuk ‘Fitrah’ ini akan mula bersiaran di media sosial rasmi Bank Rakyat jam 8 malam ini.

Filem pendek terbitan Razor’s Edge Pictures Sdn Bhd yang berdurasi 6 minit 8 saat ini menampilkan pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus di samping pelakon lain, Megat Adli, Aqilah Abbas serta pelakon cilik Nur Rebecca Isabella.

Mengulas mengenai penceritaan filem pendek tersebut, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, ia mengisahkan tentang nilai kasih dan ihsan seorang ayah bernama Ibrahim kepada anak lelakinya, Ismail yang nekad untuk berpindah ke bandar bagi memulakan perniagaan demi meningkatkan kesejahteraan dan kemampanan kehidupan keluarganya.

“Berkat azam dan keyakinan Ismail serta isterinya, perniagaan mereka mula menunjukkan hasil. Meskipun begitu, Ismail tidak pernah lupa akan rasa hormat dan tanggungjawabnya untuk mengirimkan wang setiap bulan kepada bapanya di kampung,“ katanya.

Ujar Nizam, konflik penceritaan ini terjadi apabila pandemik COVID-19 melanda. Perniagaan dan wang simpanan Ismail kian merosot namun dia tidak pernah gagal untuk mengirimkan wang kepada ayahnya walaupun dengan jumlah wang yang sedikit.

Tambahnya, seorang ayah sering kali digambarkan sebagai insan yang bersifat tegas. Secara dasarnya, itulah sifat yang dimiliki oleh seorang yang bergelar ketua keluarga yang mendidik anak-anak dengan caranya yang tersendiri. Namun begitu, di sebalik perwatakannya yang tegas, seorang ayah itu sebenarnya mengambil berat dan sanggup mengorbankan apa sahaja demi anaknya.

“Mesej ini yang sarat dengan nilai murni kekeluargaan sejajar dengan konsep Malaysia Madani kami bawakan untuk tontonan orang ramai sempena Syawal kali ini. Kisah ini begitu dekat dengan rakyat Malaysia tidak kira di mana sahaja mereka berada. Kami berharap ia bakal menyentuh hati setiap penonton dan dijadikan sebagai pengajaran.”

“Di samping itu, jalan cerita yang dipaparkan turut mengajar masyarakat akan kepentingan menabung dan memiliki simpanan lebih-lebih lagi dalam persekitaran pascapandemik COVID-19. Pada masa yang sama, kisah ini juga bertujuan bagi mengubah stigma masyarakat tentang kembali kepada fitrah. Bukanlah sesuatu yang mengaibkan untuk kita kembali ke desa bagi memulakan kehidupan semula selepas ditimpa kegagalan,” ujarnya lagi. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat gandakan had Pembiayaan Peribadi-i kepada RM400,000

(Visited 298 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button