Hiburan

Filem Pagari Bulan jalan seiring dengan OST dan Namira

FILEM dan lagu runut bunyi atau original sound track (OST) jalan seiring bagi mencantikkan lagi sesebuah filem yang ditayangkan di layar lebar. Tidak hairanlah jika filem Pagari Bulan arahan Ts Raja Mukhriz disulami dengan moleknya lagu runut bunyi berjudul Bulan.

Untuk makluman semua, filem Pagari Bulan telahpun ditayangkan di seluruh pawagam dan saluran digital OTT bermula sejak 5 Oktober lalu.

Selepas filem tersebut diperkenalkan semasa Tayangan Malam Galanya, ramai yang tertanya-tanya dan ingin tahu, siapakah gerangan pelantun lagu Bulan kerana lagu itu amat menyentuh hati tatkala mendengarnya.

Genre OST Bulan ialah pop balada dan penyanyinya ialah Namira yang memiliki suara yang lunak.

Namira berbakat besar dalam bidang seni kerana selain daripada kemampuannya sebagai penyanyi, beliau juga mampu mencipta lagu dan menulis lirik. Bulan dihasilkannya pada 2020.

Namira atau pemilik nama sebenarnya, Amira Aman berusia 30 tahun dan anak jati Kuala Lumpur.

Katanya, beliau tidak menyangka lagu tersebut menjadi pilihan pengarah, Raja Mukhriz untuk dijadikan lagu runut bunyi bagi filem arahannya.

Mengimbas kembali penghasilan lagu Bulan, kata Amira, lagu itu dicipta dua tahun lalu bersandarkan kepada inspirasi seseorang yang dicintainya.

“Sayangnya kami tiada jodoh apabila hubungan yang dijalin itu putus ditengah jalan dan terhasillah jalan cerita dalam lagu ini yang berkisar kepada cinta yang tidak kesampaian,” kata Amira dalam kenyataannya.

Tambah Amira, ketika pihak Saudagar Seni memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Sharifah Shahora selaku Penerbit filem Pagari Bulan, beliau sangat berminat lalu meminta lagu tersebut dikongsikan dengan Raja Mukhriz.

“Paling mengejutkan saya ialah apabila sang Sutradara tanpa melengahkan masa, terus bersetuju untuk menjadikan lagu BULAN sebagai OST filem Pagari Bulan.

“Saya masih ingat lagi kata-kata Raja Mukhriz: Lagu itu sesuai dengan jalan cerita, lagu itu ada roh dan apabila diputarkan berulang kali, ia seakan-akan mengundang sebak yang menyelubungi hati nurani.

“Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya menyentuh hati ramai pendengar,” kata Namira penuh kesyukuran.

Pertama kali bekerjasama dengan Penerbit filem Pagari Bulan, Eleven Field Creative, Sharifah Shahora, Namira berkata, pada mulanya beliau merasa amat segan wanita itu kerana sejak beliau kecil lagi, sudah menonton lakonan Sharifah Shahora.

Bagaimanapun, kata Amira, Sharifah Shahora sangat baik orangnya, suka membantu dan tidak berkira dalam banyak perkara.

“Beliau juga banyak kongsi pengalaman bagaimana nak ‘survive’ dalam industri yang saya ceburi ini,” ujar Amira.

Menyifatkan Sharifah Shahora sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu, wanita itu juga banyak membantu Amira selain daripada memaparkan sikap toleransi, sangat ‘supportive’ terutamanya dari segi wardrobe.

Pendekata, Amira mengakui beliau amat senang hati dapat bekerjasama dengan penerbit filem tersebut.

Seorang lagi insan seni yang membantu Amira ialah Cat Farish yang bertindak sebagai penerbit lagu BULAN.

“Cat Farish seorang yang berpengalaman dan beliau kongsikan pengalaman berharganya dengan saya.

“Segala-galanya menjadi mudah buat saya dan saya bersyukur kerana boleh ‘click’ dengan cepat bersama pasukan kerjanya.

“Tidak ada rasa tertekan atau stres langsung bekerja dalam studio dengan Cat Farish dan pasukannya. Hasilnya, rakaman lagu Bulan dapat dilakukan dalam tempoh hampir 4 jam pada Ogos lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Sharifah Shahora berkata, beliau berminat dengan lagu Bulan ciptaan dan nyanyian Namira untuk dijadikan lagu OST filem Pagari Bulan kerana liriknya yang sangat sesuai dengan plot filem tersebut.

“Filem Pagari Bulan mengangkat kisah ‘Wanita Penghibur’ pada era penjajahan tentera Jepun.

“Saya sudah lama kenal dengan Azmi Jamsari pemilik syarikat Saudagar Seni dan kami bertemu waktu itu kerana kucing.

“Dalam kami berbual pasal kucing dan perihal industri seni, saya juga bertanya padanya mengenai lagu untuk dijadikan OST filem Pagari Bulan.

“Kata Azmi, pihaknya ada lagu yang dirasakan amat sesuai dan meminta saya mendengarnya terlebih dahulu.

“Selepas mendengar lagu BULAN, saya suka melodi dan liriknya tetapi lagu itu mempunyai tempo moderate.

“Apabila dikongsi dengan Pengarah Raja Mukhriz, beliau pula terus berminat dan mahukan lagu tersebut dilamar” jelas Sharifah Shahora.

Kata Sharifah Shahora lagi, beliau meminta Azmi membuat susunan semula muzik dengan tempo yang sedikit perlahan dan dipersetujui.

Sharifah Shahora berkata, beliau minat dengan sentuhan Cat Farish dan penerbit lagu BULAN itu dipertanggungjawabkan untuk membuat susunan semula muzik manakala mengekalkan kekal Namira sebagai penyanyi.

“Saya pilih Namira dikekalkan untuk menyanyikan lagu itu kerana Bulan itu adalah ciptaannya dan vokalnya juga sesuai,” katanya.

Demi masa yang terhad, Sharifah Shahora dan Azmi bersetuju untuk merakamkan muzik video Bulan serentak dengan waktu proses rakaman suara berlangsung.

“Saya bersyukur kerana segala-galanya Allah permudahkan dan berjaya dibuat seperti yang dirancang,” ujar beliau.

Pada hemat Sharifah Shahora, Namira mempunyai bakat dan potensi untuk terus digilap sebagai anak seni dan wajar diberi peluang kerana pendatang baharu itu menunjukkan minat, kesungguhan dan komitmen dalam menggalas tanggungjawabnya.

Bagi yang ingin mengikuti Namira boleh ke semua platform media sosial dengan nama @theofficialnamira. Selain itu, Muzik Video boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media – SM

BACA Filem Pagari Bulan mengangkat perjuagan wanita

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button