Nasionalpilihan

FELCRA peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit

FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses Santan Sawit jenama SURI dengan kos RM3.5 juta.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kilang pengeluaran secara komersil itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, FELCRA mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika melawat Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong. Foto: UKK KPLB

Pengeluaran santan sawit oleh FELCRA ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria, Pengerusi FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd, Wan Ramlan Wan Abdullah.

Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong. Foto: UKK KPLB

Jelas Mahdzir, pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif FELCRA Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Tambahnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran berjumlah RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut.

Manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB).

“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya.”

Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama produk keluaran Usahawan Bimbingan FPESB. Foto: UKK KPLB

Kilang seluas lebih 4 ribu meter persegi itu tambah Mahdzir, mula beroperasi 21 Jun lalu dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari.

Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan.

Setakat ini produk Santan Sawit Suri mempunyai 5 Pengedar Utama dan dijual di 40 lokasi pasaraya dan peniaga individu di negeri Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.

“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus”, kata Mahdzir. – SM

Artikel berkaitan > FELCRA sasar bantu perkukuh industri penternakan dan pertanian negara

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button