Fazley Yaakob kahwin isterinya ketika tinggal sehelai sepinggang
DATUK Fazley Yaakob yang kita kenal kini merupakan antara selebriti dan usahawan yang cukup berjaya dan terkenal.
Tetapi siapa sangka, kehidupannya ketika di awal pernikahan bersama isterinya, Azrene Soraya Abdul Aziz tidaklah semudah yang disangka.
Kisah pengorbanan isterinya itu diungkapkan Fazley menerusi satu status Instagram miliknya berkenaan bersempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Menurut penyayi lagu Asmara Ini itu, isterinya sewaktu berkahwin tinggal sehelai sepinggang manakala Fazley juga ketika itu bukanlah boleh dikatakan hidup dalam keadaan yang senang.
“Terima kasih di atas pengorbanan isteri selama ini. Adik menjadi isteri abang dalam keadaan sehelai sepinggang, dan abang sendiri sampai tiada apa lagi yang tinggal akhirnya, namun Allah tetap memberi harta kasih dan sayang berpanjangan.
“Biarlah kita miskin harta, namun kekal kaya kasih dan sayang. Yang pahit tak semestinya racun, yang manis tak selalunya madu! Salam Ulangtahun kita yang ke-14 dan percintaan yang hampir ke-16 tahun,” katanya. -SM