Farm Fresh melonjak hampir 40 peratus dalam debut Bursa
KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd melonjak setinggi RM1.86 atau 37.8 peratus pada dagangan awal pada penampilan pertama penyenaraiannya hari ini.
Setakat jam 10 pagi, harga saham Farm Fresh berada pada RM1.84.
Pengendali ladang tenusu itu membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan harga saham RM1.70, mewakili premium 35 sen daripada harga tawarannya RM1.35.
Pada loceng pembukaan, kaunter menyaksikan 27.43 juta saham bertukar tangan.
Syarikat yang disokong Khazanah Nasional Bhd hari ini memperoleh RM1.0 bilion daripada penyenaraian itu, yang melibatkan tawaran penjualan sehingga 520.2 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 223.0 juta saham baharu.
Hasil kepada syarikat kira-kira RM301.0 juta, yang dibangkitkan melalui terbitan awam, akan digunakan untuk menubuhkan hab pembuatan baharu, ladang tenusu dan kemudahan pemprosesan bersepadu di Malaysia, pengembangan kemudahan pengeluaran di Australia, pengembangan wilayah di luar Malaysia dan untuk modal kerja bersama-sama dengan perbelanjaan penyenaraian.
Farm Fresh merupakan penyenaraian terbesar Malaysia setakat tahun ini.
IPO itu memperoleh sokongan daripada jumlah rekod 30 pelabur asas, yang paling banyak dilihat dalam IPO Malaysia setakat ini.
Ia termasuk Abrdn, Affin Hwang Asset Management, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Haji dan Franklin Templeton Asset Management (Malaysia).
Tiga hari lalu, Farm Fresh mengumumkan bahawa ia telah mencatatkan hasil sebanyak RM116.7 juta dan untung bersih RM11.8 juta bagi suku ketiga (S3) berakhir 31 Mac 2022.