Sukan

FAM, Arab Saudi sedia bekerjasama tingkatkan pembangunan bola sepak

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kedutaan Arab Saudi sedia menjalin kerjasama dalam usaha mencari jalan untuk mengukuhkan hubungan dua hala dari sudut pembangunan bola sepak.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah dipelawa melakukan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Dato’ Dr. Mahmoud Hussien Saeed Qattan di kediaman rasminya, semalam bagi membincangkan hubungan dua hala tersebut.

Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, dalam pertemuan itu pihaknya telah membincangkan kerjasama di antara dua negara dengan menjadikan bola sepak sebagai pemangkin.

“Kami bertukar pandangan dalam usaha membangunkan bola sepak, bukan sahaja untuk negara masing-masing tetapi buat seluruh keluarga bola sepak Asia khususnya.

“Antara lain turut dibincangkan mengenai pembangunan bola sepak wanita dan futsal serta perkembangan bola sepak semasa,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan FAM.

Selaku antara gergasi Asia dari Timur Tengah, Arab Saudi menjuarai Piala Asia sebanyak tiga kali pada 1984, 1988 dan 1996, selain layak ke Piala Dunia FIFA sebanyak lima kali setakat ini iaitu pada tahun 1994, 1998, 2002, 2006 serta 2018.

Menurut kenyataan itu lagi, selain bola sepak, turut dibincangkan bidaan Arab Saudi untuk menjadi hos pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 buat kali pertama dan Sukan Asia ke-21 pada 2030.

“Arab Saudi secara rasmi melancarkan bidaan sebagai tuan rumah Piala Asia AFC 2027 dengan memperkenalkan logo Bidaan dan slogan ‘Forward for Asia’ September lalu sebagai antara kunci utama dalam menyempurnakan gagasan Wawasan 2030 Arab Saudi.

“Rangka kerja strategik yang dilancarkan oleh Putera Mohammad Salman itu bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak, sambil mempelbagaikan ekonomi negara itu selain mengutamakan sektor infrastruktur, rekreasi dan pelancongan,” jelas kenyataan tersebut.

Negara yang kaya dengan sumber minyak itu tidak pernah menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia selepas kali terakhir mereka cuba membida hak tuan rumah pada tahun 2007.

Empat lagi negara iaitu India, Iran, Qatar dan Uzbekistan juga akan membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan paling berprestij di benua Asia tersebut.

Bagi Sukan Asia 2030 pula, bandaraya Riyadh akan bersaing dengan Doha, ibu negara Qatar untuk mendapatkan hak penganjuran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button