Ezzaty Abdullah tak tidur dua hari dua malam kerana takut ujian saringan Covid-19
KERANA risau dengan ujian saringan Covid-19, pelakon, Ezzaty Abdullah memberitahu yang dia tidak dapat tidur dua hari dua malam.
Menurut Ezzaty, perkara tersebut berlaku kerana rasa gementarnya yang terlalu tinggi bila melakukan ujian saringan tersebut.
“Saya memang jenis yang tidak tahan sakit. Kalau ambil darah dekat jari pun boleh menangis sebab sakit,” katanya.
Namun menurut Ezzaty, dia perlu menjalani ujian saringan tersebut sebagai rasa tanggungjawab dan sebagai langkah untuk berjaga-jaga.
Ujarnya, kerjayanya yang memerlukan dia berjumpa ramai orang yang membuatkan dia mengambil ujian tersebut.
“Saya ingin memastikan supaya wabak Covid-19 tidak tersebar kepada orang lain terutamanya kepada keluarga dan rakan sekerja.
“Takut tau tidak, semua kena letak tepi dahulu. Percayalah, memang tidak sakit pun.
“Kalau saya jenis memang tak tahan sakit langsung ni pun cakap tak sakit, macam mana dengan korang?” jelasnya.
Tambahnya, dia juga bersyukur kerana keputusan ujian saringannya itu negatif dan turut mendoakan semua supaya dijauhi wabak Covid-19. -SM