Politik

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dari PH gesa Parlimen bersidang

Anggota Jawatankuasa Khas Bebas Darurat daripada Pakatan Harapan mahu agar persidangan Parlimen diadakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, persidangan Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pandangan tersebut telah disampaikan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut pada 18 Februari lalu.

“Kami ahli-ahli Parlimen seperti yang dinamakan di bawah, berpendirian bahawa persidangan Parlimen seharusnya diadakan dalam masa terdekat walaupun darurat masih berkuat kuasa.

“Persidangan Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seperti yang telah pun dilaksana sepanjang sidang Parlimen pada tahun 2020,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 seramai 19 orang telah dibentuk pada 9 Februari lalu selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tiga ahli Parlimen pembangkang turut dilantik iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution (Kulim-Bandar
Bharu), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Loke Siew Fook (Seremban).

Jawatankuasa itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat di Malaysia dan penamatnya.

Menurut mereka, persidangan Parlimen sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak ekskutif.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang atau “Rule of Law”.

“Justeru itu, kami akan menyampaikan pandangan ini secara konsisten di mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan berharap ia akan dipersetujui oleh ahli-ahli Jawatankuasa tersebut sebagai pendirian bersama Jawatankuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” katanya.-SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button