PERENGGAN akhir dan penutup kenyataan Ezam Mohd Nor melalui fitnah terbarunya keatas Tun Dr Mahathir Mohamad secara tidak berasas sesuai ditujukan buat dirinya sendiri.
Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Sri Khairuddin Abu Hassan berkata Ezam seperti ‘seekor katak’ yang suka melompat untuk ‘mencari makan’ melalui rekaan publisiti murahan demi kepentingan perut serta survival dirinya.
Tambahnya, penipuan Ezam amat terserlah dari tahun 1998 apabila dia mengatakan ada enam kotak besar bukti-bukti rasuah Tun Daim Zainuddin serta Mahathir Mohamad tetapi sehingga kini dia gagal membuktikan kewujudan enam kotak itu.
“Kalau kita semua ingat akhirnya Ezam mengakui bahawa itu hanyalah retorik politik yang tidak berasas yang hanya disuruh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di zaman ‘reformasi’ semata-mata untuk mereka cerita bagi tujuan ‘discredit’ reputasi Tun Mahathir waktu itu,” katanya.
Menjadi tanda tanya Khairuddin mengapa kini Ezam mula menyerang Mahathir Mohamad walhal sebelum Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) beliau hampir setiap minggu datang mengadap dan membodek Mahathir Mohamad.
Menurut Khairuddin sebelum PRU14, dia sendiri yang selalu membawa Ezam berjumpa dengan Tun Mahathir kerana Ezam memohon diberikan peluang untuk membantu bagi melibatkan diri dalam wadah perjuangan Mahathit Mohamad.
“Di waktu Ezam mengutuk Anwar Ibrahim dan keluarga secara habis-habisan. Segala keburukan keluarga Anwar Ibrahim dicerita secara terbuka pada kami semua.
“Sebelum PRU14, Ezam juga menyatakan bahawa hanya seorang saja tokoh negarawan yang benar-benar bersih dan ikhlas yang mampu untuk membebaskan negara dari cengkaman kerajaan kleptokrasi.
“Tokoh tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Tun Mahathir,” katanya.
Jelasnya lagi, Ezam pernah meminta tolong untuk membawanya berjumpa dengan Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin dan isteri Daim Zainuddin bagi memohon bantuan sejumlah RM2.5 juta.
Namun, Ezam gagal mendapatkan wang tersebut daripada Mahathir Mohamad bagi melangsaikan hutang tertunggak bulanan bank maka ini menjadi punca Ezam berdendam semula dengan Mahathir Mohamad.
“Kini, baru saya sedar bahawa Ezam cuba merapatkan diri beliau dengan Mahathir Mohamad sebelum PRU14 adalah semata-mata beliau ingin memperolehi habuan wang ringgit untuk agenda peribadi serta survival kehidupan.
“Rupanya Ezam cuba beli ‘polisi insuran’ untuk selamatkan dirinya semata-mata.
“Hubungan silaturrahim Ezam berteraskan kepada kepentingan peribadi bukan dijalinkan secara tulen.
“Sebab itu pada hari ini barulah saya sedar bahawa seorang yang bernama Ezam ini adalah personaliti opportunis yang lebih jijik dari najis!,” ujarnya.
Menurut Khairuddin, keperibadian Ezam sentiasa meletakkan perjuangan untuk kepentingan sendiri.
Tambahnya, jika Ezam mohon bantuan dan seseorang itu gagal membantunya maka Ezam akan menyerang seseorang itu secara habis-habisan semata-mata untuk membalas dendam kerana tidak mahu memenuhi permintaannya. -SM