Berita

Industri pelancongan di Melaka resah jika PKP 3 dilaksanakan

MELAKA 7 Februari – Peningkatan kes harian Covid-19 kian meresahkan dalam kalangan pemain industri pelancongan di Melaka.

Kes harian semalam (Ahad) sebanyak 10,089 dan hari ini (Isnin) meningkat pula sebanyak 11,034 kes positif membuatkan mereka bimbang jika kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jika PKP ketiga dilaksanakan semula sudah pasti sektor pelancongan di Melaka akan terkesan teruk seperti mana yang dialami dua tahun lalu.

Musibah dua tahun lalu itu tidak lagi mahu dihadapi oleh penggiat sektor pelancongan khususnya bidang perhotelan, homestay, bot Melaka River Cruise, pantai perangian, Menara Taming Sari dan sebagainya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan tiada PKP akan dilaksanakan berikutan keresahan rakyat ketika sambutan Aidilfitri bakal menjelang tahun ini.

“Saya pernah umumkan bahawa kita tidak akan buat lagi PKP seluruh negara, negeri dan daerah.

“Sektor ekonomi buka seperti biasa, saya beri jaminan tidak akan akan menutup lagi negara dari segi perniagaan, pergerakan rakyat bebas seperti biasa, tetapi kita fokus kawasan bersasar sahaja,” katanya pada 23 Januari lalu.

Pengarah Urusan Hotel LaCrista, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, beliau berharap peningkatan kes harian Covid-19 hingga mencecah 11,034 memaksa kerajaan melaksanakan PKP ketiga.

Berdasarkan perkembangan semasa kes berkenaan katanya, data terpenting seperti kadar kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan pesakit kategori kritikal dilihat tidak meningkat.

“Berdasarkan kepada data tersebut tiada sebab kerajaan perlu melaksanakan PKP di seluruh negara seperti dua tahun lalu.

“Jika kerajaan laksanakan juga PKP habislah sektor pelancongan di Melaka begitu juga seluruh negara turut terkesan seperti dua tahun lalu. Hotel saya juga turut terkesan seperti dua tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, ketika ini sektor tersebut baru hendak bernafas apabila menerima kemasukan pelancong selepas tiada lagi sekatan rentas negeri sejak Oktober tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin berkata, pelaksanaan PKP bukan jalan penyelesaian bagi menangani penularan varian Omicron yang semakin menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, jika PKP dilaksanakan musibah bagi sektor pelancongan khususnya di negeri ini akan menjejaskan pemain industri seperti mana musibah itu melanda dua tahun lalu.

“Syarikat kita mengalami kerugian yang sangat besar apabila bot-bot Melaka Rivercruise tidak dapat beroperasi sepanjang PKP.

“Dua tahun itu cukup-cukup memberi kesan bukan terhadap PPSPM tetapi juga dalam kalangan pemain industri pelancongan lain di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, sejak Oktober tahun lalu apabila rentas negeri dibenarkan dan sektor pelancongan beroperasi seperti biasa, PPSPM sudah kembali bernafas dengan kemasukan pelancong domestik meningkat setiap cuti
hujung minggu dan musim perayaan.

(Visited 253 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button