Nasional

ETS dan komuter bergesel, seorang cedera

Sebuah kereta api elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang, Gombak petang tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.37 petang itu telah menyebabkan seorang daripada 29 penumpang komuter cedera manakala 93 penumpang ETS tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, komuter itu  dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar yang menuju ke Stesen KL Sentral.

“Satu landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Rawang tidak terhalang dan masih boleh digunakan untuk perkhidmatan tren-tren lain.

“Kita jangkakan akan berlaku sedikit kelewatan bagi perkhidmatan tren-tren tersebut,” katanya.

Jelasnya, penumpang komuter yang cedera ringan di tangan itu telah diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan KTMB di Stesen Kuang sebelum mangsa meneruskan perjalanan ke Stesen Sungai Buloh.

Ujarnya, penumpang ETS yang terbabit juga telah dipindahkan menaiki ETS berikutnya untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

“Kita sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih di lokasi kejadian.

“Siasatan terperinci juga telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian”, katanya lagi.

Tambahnya, semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah dimaklumkan mengenai siasatan itu. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button