Empat rumah flat di Jalan Loke Yew terbakar
PENDUDUK di kawasan Blok 42, Flat Mawar, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur gempar selepas berlaku kebakaran di tingkat empat dan lima blok berkenaan.
Susulan kejadian, empat orang warga emas telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menerima rawatan.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.44 petang.
Komander Operasi, Muhammad Ridhwan Kamarulzaman berkata, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah serta Pudu telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati berlaku kebakaran melibatkan tiga buah rumah di tingkat empat dan sebuah rumah di tingkat lima.
“Sebuah rumah di tingkat empat hangus sepenuhnya manakala tiga lagi rumah dianggarkan terbakar sekitar 30 dan 40 peratus,” jelasnya.
Tambah Muhammad Ridhwan, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.01 petang dan punca kebakaran masih disiasat. -SM