Politik

Musa harap TYT Sabah ambil keputusan wajar

BEKAS Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berharap Tuan Yang Terutama Sabah Tun Juhar Mahiruddin akan mengambil keputusan yang  wajar untuk melantik beliau sebagai Ketua Menteri baru dan memberi peluang kepadanya untuk menubuhkan satu kerajaan baru.

Musa berkata, beliau telah menyampaikan 33 surat akuan berkanun kepada Tun Juhar pagi tadi yang mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri terbabit telah menarik sokongan kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Haji Apdal dan melafazkan sokongan kepadanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang bahary.

“Adalah amat jelas bahawa dari segi undang-undang dan Perlembagaan Negeri Sabah, saya layak dilantik oleh Tuan Yang Terutama untuk menjadi Ketua Menteri Negeri Sabah kerana saya mempunyai sokongan majoriti.

“Tuan Yang Terutama mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan untuk memberi pertimbangan yang wajar sama ada saya mempunyai majoriti yang diperlukan untuk menubuhkan sesuatu kerajaan baru bagi Negeri Sabah,” kata Musa.

Jelas Musa, pertimbangan membuat keputusan harus mengambil kira wabak Covid-19 yang sedang melanda negara sekarang.

Menurutnya, adakah pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dalam keadaan Covid-19 sedang merebak merupakan langkah yang wajar.

Musa berkata, kesihatan dan kepentingan rakyat mestilah sentiasa menjadi keutamaan  dalam membuat sebarang keputusan.

“Jangan sekali-kali kita perjudikan nyawa rakyat kita semata-mata untuk kepentingan peribadi dan politik. Saya ingin menyatakan keikhlasan saya untuk menubuhkan satu kerajaan baru bagi Negeri Sabah.

“Saya mengulangi sekali lagi dan menegaskan bahawa saya mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan saya berharap bahawa satu keputusan akan diambil secara bijak dan wajar oleh Tuan Yang Terutama untuk melantik saya sebagai Ketua Menteri baru dan memberi peluang untuk menubuhkan satu kerajaan baru bagi rakyat Negeri Sabah,” kata Musa.

Menurutnya, sekiranya Dewan Undangan Negeri telahpun dibubarkan, beliau dengan akan melawan dalam pilihanraya untuk memberi rakyat Sabah satu kerajaan baru yang stabil dan memperjuangkan kepentingan kesemua rakyat negeri tersebut.-SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button