Luar Negara

Elon Musk dinobatkan ‘Person of the Year’ tahun 2021

CHIEF Executive Officer (CEO) Tesla (TSLA.O) dan SpaceX, Elon Musk dinobatkan sebagai ‘Person of the Year’ untuk tahun 2021 oleh majalah Time pada semalam.

Majalah Time menyebut Musk sebagai ‘seorang lelaki yang bercita-cita untuk menyelamatkan planet dan menjadikan kita mempunyai planet baru untuk didiami’.

Ketua editor Time, Edward Felsenthal, menulis bahawa Person of the Year adalah penanda pengaruh dan hanya beberapa individu mempunyai lebih banyak pengaruh daripada Elon Musk terhadap kehidupan di bumi, dan berpotensi untuk hidup di luar bumi.

Menurut CNN, Felsenthal turut menulis bahawa Elon Musk bukan sahaja menjadi orang paling kaya di dunia malah turut menjadi contoh terkaya dalam perubahan besar yang berlaku dalam masyarakat kita.

Tahun 2021 layak menjadi tahun lelaki yang dilahirkan di Afrika Selatan 50 tahun lalu itu.

Pada bulan Januari, Musk mengatasi Jeff Bezos sebagai orang terkaya yang masih hidup dan telah menambah lebih $100 bilion kepada kekayaannya pada tahun ini.

Pada bulan Oktober, Tesla menjadi salah satu daripada segelintir syarikat dengan nilai pasaran melebihi $1 trilion.

Sementara itu, melalui SpaceX, Musk telah melancarkan misi pertama ke orbit bumi dengan kru yang terdiri daripada pelancong dan masyarakat awam tanpa angkasawan profesional.

Dalam tulisan yang memperkenalkan Musk sebagai ‘Person of the Year’, Felsenthal menarik perhatian kepada personanya dan menyifatkan Musk sebagai ‘instrumen tumpul yang sering kelihatan bersenang-senang dalam perpecahan dan ejekan agresif’, yang dilihat orang ramai kerana sering menggunakan Twitter.

Pada tahun lalu, Joe Biden bersama Kamala Harris dipilih menjadi ‘Person of the Year’

CEO Facebook, Mark Zuckerberg dan pengasas Amazon, Jeff Bezos juga pernah menerima gelaran itu pada masa lalu.

Tradisi menobatkan gelaran ‘Person of the Year’ telah dimulakan oleh majalah Time pada tahun 1927. – SM

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button