Auto Travel

Eletre, SUV Elektrik pertama dari Lotus

LOTUS telah mengumumkan bahawa SUV elektrik baharunya akan dipanggil Eletre, dan ianya dipertontonkan buat kali pertama pada 7.30 malam waktu UK pada hari Selasa 29 Mac. Menyedari kepentingan segmen SUV yang kian meningkat, Lotus kini melancarkan model terbaharu yang merangkap SUV pertama jenama yang terkenal dengan tema Ride & Handling.

Eletre meneruskan tradisi penamaan model-model Lotus yang bermula dari huruf E, dan menurut Lotus, Eletre membawa maksud ‘coming to life‘mengikut bahasa Eropah Timur. Eletre lahir dari platform Electric Premium Architecture (EPA) dengan kuasa permulaan 600 hp dari motor elektrik berkembar, dan pecutan 0-100 km/j di bawah tiga saat.

Sementara kelajuan tertinggi pula adalah sekitar 260 km/j, tanpa menyebut info berkenaan berat sebenar SUV ini. Kapasiti pek bateri Lotus Eletre pula adalah melebihi 100 kWh dengan jarak pemanduan sejauh 600 km mengikut data WLTP.

Sistem pengecasan 350 kW pula membolehkan jarak pemanduan sehingga 400 km dicapai dalam tempoh 20 minit sahaja. Secara standard, Lotus Eletre didatangkan dengan suspensi five-link di belakang, dengan sistem suspensi udara dan pelarasan ketinggian kenderaan aktif, sistem stereng gandar belakang, serta bar anti-oleng aktif.

Dari segi rekaan, Lotus Eletre membawakan elemen rekaan daripada kereta sports Lotus Emira, dengan unit lampu utama terpisah, bar lampu belakang LED melintang, serta gril depan dengan sistem aerodinamik aktif bertujuan untuk penyejukan sistem motor elektrik, pek bateri dan juga brek.

Menurut Lotus, Eletre didatangkan dengan empat penderia LIDAR yang boleh didapati pada bahagian atas cermin depan dan belakang, dan dua lagi terletak pada fender depan. Unit cermin sisi pada Eletre boleh digantikan dengan sistem Electric Reverse Mirror Display (ERMC) yang terdiri daripada tiga unit kamera yang berbeza fungsinya.

Ruang kabin Eletre mampu memuatkan empat hingga lima orang pada satu-satu masa, dengan opsyen pemasangan tempat duduk berasingan pada baris kedua. Tidak menggunakan panel instrumen tradisional, Lotus Eletre didatangkan dengan jalur paparan nipis setinggi 30 mm, dan skrin yang sama turut dipasangkan pada depan tempat duduk penumpang.

Skrin utama di tengah adalah sebesar 15.1 inci yang menempatkan segala macam informasi dan fungsi kenderaan, dan tidak ketinggalan sistem paparan head-up dengan ciri realiti terimbuh yang juga merupakan ciri standard.

Lotus akan membina SUV Eletre di kilang baharu yang terletak di Wuhan, China dengan proses penghantaran hanya akan bermula pada tahun 2023. – SM

 

 

(Visited 229 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button