Elaun nelayan: Lembu punya susu sapi dapat nama – Tze Tzin
SELEPAS bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub beri ingatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkaitan Elaun Sara Hidup nelayan, bekas Timbalan Menteri kementerian itu pula tampil berkaitan isu yang sama.
Sim Tze Tzin berkata, pengumuman Muhyiddin mengenai kenaikan Elaun Sara Hidup nelayan ke RM300 merupakan kerja keras Salahuddin dan pasukan sepanjang 22 bulan mereka berada dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Beliau jangan hanya nak ambil kredit dan nama semata-mata nak menangkan Pilihanraya.
“Hakikatnya, Kerajaan Perikatan Nasional kurang menunjukkan kreativiti atau dasar-dasar baru yang memberangsangkan. Rakyat masih tak nampak sangat dasar baru dalam sektor pertanian di bawah kerajaan PN.
“Mereka hanya meneruskan dasar yang diusahakan oleh kerajaan PH sahaja. Lembu punya susu, sapi dapat nama,” kata Tze Tzin.
Jelas Tze Tzin, pengumuman kenaikan Elaun Sara Hidup nelayan yang dilakukan di Sabah sempena Pilihan Raya Negeri bukan satu kebetulan.
Semalam Muhyiddin mengumumkan kenaikan Elaun Sara Hidup Nelayan dari RM250 kepada RM300 padda Majlis Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Beaufort, Sabah.
Kenaikan elaun itu bagi mengurangkan beban golongan nelayan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Semasa Pakatan Harapan mentadbir negara, Parti Warisan Sabah sebahagian daripada PH dan Elaun Sara Hidup nelayan sebanyak RM300 dipotong menjadi RM250.
“Hari ini, saya umumkan, kita kembalikan semula bayaran tunai RM300 setiap bulan, supaya dapat meringankan beban yang ditanggung sektor perikanan,” katanya.
Elaun Sara Hidup Nelayan menjadi polimik selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Perdana Menteri ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, bantuan itu akan dibatalkan atas faktor kekangan ekonomi tetapi Salahuddin dalam satu sidang akhbar berkata, elaun itu akan dikekalkan.