Ekonomi

Isu larangan eksport Top Glove ke AS selesai akhir tahun ini

TOP Glove Corporation Bhd menjangkakan isu perintah sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan getah yang dihasilkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn. Bhd. dan TG Medical Sdn. Bhd. selesai menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Lim Wee Chai berkata, kumpulan itu sedang berusaha menyelesaikan isu itu dan ia berjalan lancar.

“Kami percaya dalam tempoh sebulan, ia boleh diselesaikan tetapi ini hanya jangkaan semata-mata,” katanya selepas taklimat analisis prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020 seperti dilaporkan FMT.

Pada 15 Julai lalu, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) melaksanakan perintah sekatan ke atas sarung tangan pakai buang keluaran anak syarikat Top Glove yang didakwa menggunakan buruh paksa di kilangnya.

Awal bulan ini, Top Glove dilapor sudah mengemukakan laporan audit yang disediakan perunding bebas kepada CBP.

Laporan itu membabitkan temu bual maya dengan kira-kira 1,100 pekerja asing dan kakitangan tempatan di pelbagai lokasi.

Pengeluar sarung tangan itu tidak menjangkakan isu tersebut akan memberi kesan kepada hasil dan keuntungan kumpulan disebabkan permintaan kukuh dari negara lain, kata Pengarah Urusannya, Lee Kim Meow.

Katanya, syarikat itu sedang berhubung dengan CBP secara aktif bagi membatalkan perintah sekatan itu.

Jumlah bayaran pemulihan dianggarkan RM53 juta, tertakluk kepada keputusan akhir CBP.

“Kami telah membuat dua pembayaran pemulihan, yang pertama pada 10 Ogos dan satu lagi pada 10 September. CBP meminta kami menjalankan audit bebas dan kami telah melakukannya.

“Pada masa sama, kami mengemukakan laporan kepada mereka dan kami sentiasa terus berhubung dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Kim Meow berkata, permintaan untuk sarung tangan mungkin kekal mantap memandangkan vaksin Covid-19 memerlukan masa untuk dihasilkan.

“Sarung tangan akan kekal menjadi keperluan utama dalam kehidupan semua orang.

“Sekarang ini, topeng muka dan sarung tangan menjadi penggunaan terpenting di barisan hadapan sebagai alat perlindungan peribadi terhadap virus ini.

“Selepas Covid-19, saya tidak menjangkakan keadaan dan sikap orang ramai terhadap alat ini akan berubah,” tambah beliau. – SM

 

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button