albatros

Ekonomi suram, padang golf kembali meriah

SEJAK ekonomi semakin suram, hendak bermain golf pun perlu menilik duit di dalam kocek dan dompet terlebih dahulu.

Apatah lagi bayaran bermain golf juga lebih mahal berbanding keadaan biasa kerana buggy tidak digalakkan berkongsi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Itu perkiraan bagi pemain golf kategori ‘sengkek’, tetapi realiti di lapangan golf adalah sebaliknya. Lapangan golf akan bersesak dengan pemain jika keadaan ekonomi semakin suram dan akan lengang jika keadaan ekonomi baik.

Mengapa situasi itu berlaku mudah sahaja, apabila tiada aktiviti perniagaan yang dapat dijalankan seperti tiada mesyuarat dan temu janji serta diskusi bisnes ramai ahli perniagaan menghabiskan masa di lapangan golf.

Orang berduit dalam apa jua keadaan dia tahu untuk menguruskan diri, waima dalam keadaan yang sangat buruk pada masa ini, jadi mereka akan santai sahaja dan berehat dengan bermain golf.

Oleh itu pada ketika ini sangat sukar untuk mendapat slot untuk bermain golf kerana semuanya penuh dan perlu ditempah seawal seminggu, itupun yang kosong biasanya pada sebelah petang, kerana ramai tidak berani mengambil risiko kerana hujan sering turun pada sebelah petang.

Ada pula seorang rakan saya yang keluar daripada persaraan selepas enam tahun. Jadi apabila dia mengajak saya bermain golf, saya kosongkan jadual sepenuhnya.

Punca kawan saya gantung kayu kerana mendapat bos perempuan yang tidak menggalakkan pekerja bermain golf dan kini dia mendapat bos lelaki yang menggalakkan pekerja bermain golf dengan pelanggan.

Orang perempuan memang sinonim dengan tidak gemar orang lelaki bermain golf kerana sering mempunyai tanggapan negatif terhadap sukan ini kerana kebanyakan kedi ialah wanita.

Itu perkara yang memang tidak boleh diatasi sampai bila-bila kerana ia naluri biasa manusia, walaupun telah ramai pemain golf profesional wanita.

Bagi yang telah bersara lama jika mahu kembali bermain golf perkara yang paling asas ia membeli kasut baharu.

Ini adalah kerana kasut lama walaupun kelihatan elok tetapi tapaknya akan tertanggal kerana gam sudah tidak kuat atau keras, kecuali ia telah digam dan dijahit.

Rakan saya ini bijak kerana dia telah menyediakan kasut baharu, jadi seperti yang dijangka tapak kasutnya tertanggal dan dia segera menggantinya dengan kasut baharu.

Tidak kira jenama terbaik sekalipun jika disimpan terlalu lama, tapak akan tercabut kerana permainan melibatkan banyak berjalan kaki.

Kadangkala jika membeli kasut stok lama ketika tawaran jualan juga perlu berhati-hati. Eloklah dihantar ke kedai untuk dijahit mengelakkan insiden kehilangan tapak kasut.

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button