Sukan

Kejohanan Woodball Dunia ‘diaktifkan’

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengharapkan agar usaha-usaha persiapan penganjuran Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) 2020 yang telah diperaku tunda pelaksanaannya kepada 24-30 Julai 2021 di Perlis haruslah diaktifkan semula dengan sebaik mungkin.

‘Kita mengambil perspektif bahawa kejohanan tersebut ‘tetap dilaksanakan’ walaupun dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih belum reda’.

Justeru, baginda berharap supaya semua pihak perlu mengambil inisiatif untuk melihat kembali ‘status dan progres’ persiapan masing-masing. Tindakan awal amat diperlukan supaya pihak penganjur tidak ‘terlepas pandang’ perkara-perkara penting untuk diselaraskan.

Demikian titah Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ yang diadakan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Ir Ts Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Timbalan beliau, Zaharin Haris.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Kamarudin memaklumkan bahawa sebagai usaha memeriahkan lagi suasana WCWC Perlis 2020, beberapa kejohanan telah dikenal pasti dijadikan sebagai pembuka tirai atau ‘Road to WCWC Perlis 2020’ seperti Liga Tertutup Perlis, Kejohanan Woodball Kebangsaan, Liga Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2021, Piala Presiden, Piala Tuanku Canselor UniMAP, Terbuka Perlis serta Matriculation Challenge.

Pada kali ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara merebut ‘Kejohanan Woodball Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra 2020’ diikuti Jabatan Kesihatan Negeri di tempat kedua, Hospital Tuanku Fauziah (ketiga) dan Kolej Matrikulasi Perlis (keempet).

Sementara itu, dalam pertandingan merebut ‘Piala Presiden 2020’ pula, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis menjadi johan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis (kedua), Jabatan Pendidikan Negeri (ketiga) dan Jabatan Kehakiman Syariah (keempat).

Turut disempurnakan ialah penyampaian hadiah-hadiah bagi kategori jemputan ketua-ketua jabatan yang diungguli oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis, Ruhisha Haris sebagai juara, Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis Hj Abdul Muhaimin Osman (Naib Juara) dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts R Badlishah Ahmad di tempat ketiga

Untuk rekod, kejohanan woodball ini telah dijalankan sebanyak 4 pusingan secara berkumpulan sebelum memasuki pusingan kedua, yang telah bermula pada 12 September 2020 yang lalu dengan melibatkan sebanyak 38 buah pasukan terdiri daripada jabatan dan badan berkanun Negeri dan Persekutuan di Perlis.

(Visited 607 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button