Nasional

EDU-INNOVATE 2023 Medan pamer inovasi dalam pendidikan

SEMPENA Perhimpunan Bulanan November, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program Expo Inovasi Pendidikan Antarabangsa (Edu@Innovate) 2023 semalam  di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, yang mendapat sambutan luar biasa apabila disertai lebih 300 pemamer.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan program Edu@Innovate 2023 antara kejayaan besar UPSI tahun ini dalam memperkasakan inovasi dalam pendidikan di negara ini.
“Sebagai sebuah universiti pendidikan tersohor, UPSI menjadi rujukan pelbagai pihak  termasuklah pemain industri  pendidikan  dalam memajukan negara selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Prof Suriani (tiga dari kiri) merasmikan Edu@Innovate 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar itu memberi peluang kepada penyelidik dari pelbagai institusi pendidikan tinggi  awam dan swasta, agensi kerajaan, pemimpin industri, pelajar pascasiswazah, guru dan pelajar.
Program itu, katanya, program dua hari itu diadakan sebagai menyahut gagasan Malaysia Madani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam teras ketiga wawasan Malaysia Madani  iaitu Kreativiti (inovasi), di mana kreativiti perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Prof Suriani bersama pengurusan universiti dan pemain industri yang menjadi Rakan Stratik UPSI.
Program bertemakan “Synergising Translational Education 5.0 in Knowledge, Industries and Humanities” itu mewujudkan pendekatan holistik dan inovatif terhadap pendidikan dalam melahirkan pelajar yang bakal mendepani  cabaran masa depan.
“UPSI menghayati aspirasi kerajaan dengan melaksanakan Edu@Innovate sebagai medan untuk menggabungkan konsep metaverse dengan kemanusiaan dan belas kasihan, agar teknologi yang dihasilkan bercirikan kebaikan yang bukan hanya merangkumi TVET dan STEM, malah  dalam konteks metaverse, kecerdasan buatan, IoT, teknologi 5G, teknologi sensor, percetakan 5D, bahan termaju, teknologi neuro, teknologi biosains, rantaian blok, analisis data, serta keselamatan siber.
Pameran produk modul untuk murid orang Asli insiatif UPSI di bawah program empowerNCER Akademik yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut dipamerkan.
Beliau berkata Edu@Innovate  2023 diadakan bertujuan menggalakkan kerjasama dan rangkaian semasa pameran untuk menjana idea dalam kalangan pendidik, pentadbir, dan pakar industri; mempamerkan inovasi dan pencapaian pendidikan yang boleh diterapkan dalam masyarakat, memberi maklumat kepada ibu bapa dan pelajar tentang peluang pendidikan, nilai inovasi, dan penciptaan ekosistem inovasi dalam konteks keluarga, meningkatkan kesedaran tentang trend terkini keperluan industri untuk hasil inovasi serta menyumbang kepada pendidikan masyarakat melalui bimbingan dan inovasi yang dihasilkan.
Kit Simulasi Pilihanraya: Jom Mengundi antara inovasi yang dipamerkan sempena Edu@Innovate 2023.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Prof Madya Rosmilah Misnan berkata sempena program diadakan pertandingan pameran inovasi merangkumi kurikulum dan pedagogi, pentaksiran dan penilaian, kepimpinan pendidikan, pendidikan awal kanak-kanak, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) , belia, komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat;  teknologi pendidikan, pembelajaran literasi, serta STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) itu dinilai oleh 80 juri yang dilantik.
Turut menyertai pameran inovasi pendidikan itu adalah  70 peserta anatarabangsa dari Indonesia, India dan China.
Selain ceramah industri, UPSI juga meraikan 15 Rakan Strategik  dan antara figura pemain industri yang hadir termasuklah Datuk M. Nasir,   Datuk Abdul Malek Mohamed Noor serta Datuk David Teoh.
Beliau berharap Edu@Innovate 2023  bermanfaat  dalam mengubah minda bahawa inovasi boleh dimanfaatkan untuk membentuk ekosistem ke arah negara berasaskan nilai dan progresif.
Pusat Ulul Albab UPSI turut menyertai pameran.
Hadir sama , Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin dan Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman.
Pada majlis sama beliau turut melancarkan Festival Seni UPSI  2023  anjuran Fakulti Seni, Kelestarian, dan Industri Kreatif (FSKIK)  iaitu program pemerkasaan fakulti selepas ia dijenamakan semula pada 2022.
Dekan FSKIK, Prof Madya Ts Dr Muhammad Zaffwan Idris  berkata FSKIK bersama rakan strategik, Ana Muslim dan Institut Kraf Negara (IKN) terlibat  dalam majlis pertukaran dokumen MOU sebagai tanda kerjasama kedua insitusi dan syarikat sekali gus  bakal memartabatkan industri animasi dan kraf negara selain kerjasama strategik lain. -SM
(Visited 141 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button