fbpx
Berita

Econpile disaman balas ASM Development KL

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah, ASM Development (KL) Sdn. Bhd. (ASMDKL) milik Maju Holdings Sdn. Bhd. memfailkan saman balas bernilai hampir RM346 juta terhadap Econpile Sdn. Bhd. sebagai tindak balas saman difailkan oleh kontraktor pembinaan itu berhubung kegagalan melaksanakan kerja-kerja membabitkan projek pembinaan Maju Kuala Lumpur (KL).

Dalam saman balas difailkan firma guaman Edwin Lim dan Suren pada hujung November 2019 itu, ASMDKL menyenaraikan 13 tuntutan balas bagi menuntut ganti rugi berikutan kegagalan Econpile melaksanakan kerja mengikut tarikh ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Farid Nawawi dalam satu kenyataan memaklumkan, tuntutan tersebut dilakukan selepas Econpile yang dilantik bagi melaksanakan pembinaan cerucuk dan struktur asas projek bernilai RM280 juta itu bertindak menghentikan kerja pada awal Mac lalu.

Saman balas tersebut turut menyenaraikan tuntutan kerosakan kerja awal sebnayak RM33.8 juta yang ditinggalkan Econpile melibatkan pembinaan asas bagi projek pembinaan membangunkan tujuh blok menara apartmen mewah Maju KL.

Kegagalan syarikat tersebut melengkapkan kerja-kerja berkenaan memberi impak kepada ASMDKL sekali gus mengakibatkan penangguhan kerja penyiapan dan proses penyerahan 1,403 unit rumah yang sudah dijual kepada pembeli di bawah perjanjian jual beli dengan kos tuntutan mencecah RM98 juta.


Berdasarkan tuntutan balas berkenaan, ASMDKL turut menyenaraikan kos operasi yang terpaksa ditanggung disebabkan kelewatan serta penyambungan kerja-kerja ditinggalkan Econpile sejak 1 Mac 2019.

Sehubungan itu, ASMDKL terpaksa melantik kontraktor baharu bagi meneruskan kerja-kerja berkenaan selepas Econpile gagal melaksanakan kerja yang termaktub dalam kontrak dipersetuji selain disahkan menerusi Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) oleh arkitek kepada syarikat kontraktor tersebut pada 7 April 2018.

Di samping itu, ASMDKL juga menuntut pembayaran membabitkan 110 unit rumah bernilai hampir RM67 juta daripada syarikat Platinum Rhytm Sdn. Bhd. yang merupakan milik pengarah dan pemegang saham Econpile menerusi perjanjian pembelian blok pada 25 Ogos 2017.

Media sebelum ini melaporkan, Econpile mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut kira-kira RM67 juta daripada ASMDKL sebagai ‘tuntutan bayaran kemajuan’ pelaksanaan kerja.

Bagaimanapun, ASMDKL mempersoalkan tindakan Econpile membuat tuntutan tersebut memandangkan syarikat kontraktor itu bertindak menghentikan kerja dan bukannya ditamatkan kontrak. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button