Nasional

Ebit Lew terbang ke Gaza, bantu Palestin malam tadi

AKTIVIS kemanusiaan dan juga pendakwah bebas Ebit Lew telah berlepas ke Gaza untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan bom bertalu-talu dari Israel baru-baru ini.

Beliau menaiki pesawat Turkish Airlines yang menaja tiket penerbangan ke Gaza malam tadi.

Dalam kenyataan ringkas di Facebooknya, Ebit mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Wisma Putra kerana memudahkan urusan misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk di wilayah yang terjejas teruk itu.

Pendakwah bebas itu turut menyatakan terima kasih kepada Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi semangat dan doa.

Ebit turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang menyokong misi berkenaan.


“Pohon doakan ya Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin. Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya. Ya Allah bantulah kami dan hanya kepadaMu kami berserah.

“Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin dan Wisma Putra kerana sokong dan bantu permudahkan misi kemanusiaan ini. Semoga setiap usaha kita demi rakyat Palestin dirahmati Allah SWT.

Terima kasih DYAM Tengku Mahkota Johor yang memberi semangat dan doa. Terima kasih dan penghargaan juga kepada YAB Perdana Menteri Malaysia yang turut memberi sokongan misi kemanusiaan ini demi rakyat Palestin,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin turut mendoakan agar misi Ebit yang disifatkan sebagai mulia akan dipermudahkan.

Beliau turut menawarkan pertolongan dan bantuan Kerajaan kepada Ebit melalui Kedutaan Malaysia di Kaherah ketika berada di sana.

“Tiada kata-kata lain daripada saya buat Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau melainkan terima kasih atas usaha yang sangat mulia ini demi saudara mara kita di #Palestin.

“Insya-Allah Ustaz, sokongan dan doa saya serta seluruh warga Wisma Putra akan sentiasa iringi perjuangan Ustaz. Semoga Allah SWT akan melindungi Ustaz dan delegasi serta memudahkan urusan misi kemanusiaan ini.

“Perlukan apa-apa maklum sahaja. InsyaAllah, Perwakilan Malaysia di Kaherah, Mesir akan cuba bantu. Semoga selamat sampai ke destinasi ustaz!” kata Hishammuddin.

Wilayah Gaza telah dibom dan diserang selama 11 hari oleh regim zionis Israel selepas penduduk Palestin bangkit menentang tindakan Israel merampas rumah penduduk Palestin di wilayah dijajah Sheikh Jarrah.

Seramai 248 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak syahid akibat serangan bom bertalu-talu jet pejuang Israel dari udara. Hampir 2,000 penduduk Palestin cedera dalam serangan itu.

Serangan itu turut mengakibatkan beratus buah rumah musnah dan beribu terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.-SM

 

(Visited 395 times, 2 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button