Duit pembayar cukai bukan untuk beli sokongan politik
Negara kita telah melepasi Wawasan 2020 yang dan kini melangkah masuk ke 2021, tetapi politik negara masih tidak berubah, atau menjadi semakin buruk.
Jika dahulu peruntukan parlimen digunakan untuk membeli sokongan wakil rakyat dan sudah sekian lama wakil rakyat pembangkang sering didiskriminasi dengan peruntukan yang kurang berbanding wakil rakyat dari parti kerajaan.
Tujuannya adalah supaya wakil rakyat berkenaan tidak akan dapat memberi khidmat yang baik dan pada pilihan raya seterusnya, para pengundi akan kembali memilih pemimpin yang mewakili parti kerajaan.
Bagaimanapun situasi itu semakin aneh apabila wakil rakyat kerajaan sendiri didiskriminasi hanya kerana sering mengkritik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin menjadikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai mangsa pertama selepas mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi semua parlimen termasuk pembangkang, tetapi hanya menyalurkan RM100,000 kepada Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Presiden UMNO itu dikatakan sering mengkritik dan tidak sehaluan dengan Muhyiddin walaupun mereka sepakat pada awalnya membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh.
Bagaimanapun selepas berada di dalam satu saf mereka sering bercakaran, Ahmad Zahid menuduh Muhyiddin dan partinya Bersatu cuba mencuri ahli UMNO dan sering membuli parti itu di dalam pakatan tersebut.
Bahkan kadangkala Ahmad Zahid dan kemnya lebih kuat mengkritik Muhyiddin berbanding pembangkang, sehingga menimbulkan keretakan hubungan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Ketika akaun parti UMNO dibekukan dan kes Ahmad Zahid serta akaun beliau masih dibekukan, memang sukar beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Muhyiddin tidak seharusnya berkelakuan kebudak-budakan dengan menyekat peruntukan untuk rakyat kerana ia adalah duit para pembayar cukai dan bukannya milik partinya.
Perbuatan beliau hanya menimbul lebih kebencian rakyat kepada pemimpin berkenaan yang semakin merosot populariti dalam kalangan rakyat ekoran kegagalan beliau menangani pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang semakin memburuk.
Bantuan yang dihebahkan tidak sampai kepada kumpulan sasar, sebaliknya mereka terpaksa berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam situasi yang amat sukar dan tidak pernah dialami negara.
Lebih 3 juta orang sudah kehilangan pekerjaan dan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk sesuap nasi pada masa ini.
Tiada pelaburan baharu yang berjaya dibawa masuk kerana situasi politik yang tidak stabil, bahkan pelabur yang sedia ada juga telah lari ke negara-negara jiran yang lebih meyakinkan berbanding Malaysia.
Langkah Muhyiddin mengumumkan Darurat juga tidak dapat mengurangkan kes Covid-19, tetapi menjadi boomerang yang kepada beliau kerana situasi yang semakin gawat.
Rakyat mula mendesak satu dasar yang lebih konkrit bagi menangani wabak dan ekonomi yang gawat, tetapi masih belum berjaya digubal setakat ini.