Gara-gara bertindak mencuri set peralatan membaiki kereta seorang duda dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Idris Karim, 41, yang bekerja sebagai buruh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Februari lalu.
Idris dituduh memecah masuk bengkel kereta milik Mohd Nazree Norizan dan mencuri satu set ‘tool box’ bernilai RM3,000 di Lorong Pandan, Kampung Lapan pada 1.46 pagi, pada 15 Februari lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat jika disabitkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek. – SM