Mahkamah

Dua wanita Thailand, seorang lelaki didakwa miliki pistol, edar dadah

Dua wanita warga Thailand bersama seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Maijstret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah serta memiliki sepucuk pistol bulan lalu.

Tertuduh, Ong Kee Teck, 37, dan dua wanita warga Thailand, Maneerat Pariwat, 24, serta Promporn Thanadchangsaeng, 25, mengganguk tanda faham sebaik semua enam pertuduhan dadah dibacakan jurubahasa mahkamah
di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didapati mengedar cecair mengandungi dadah jenis Ketamin anggaran isipadu 286,255 mililiter (ml), Nimetazepam berat kasar 551 gram, serbuk dadah MDMA (1,124 gram),
Ketamin, (5,569 gram) dan campuran serbuk Ketamin (6,415 gram).

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah beralamat Jalan TS4, Taman Saga Bertam Malim, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8.15 malam 27 Januari lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis MDMA dalam bentuk pil berat kasar 26 gram di lokasi dan masa sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen pula ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman kerana memiliki sepucuk pistol di lokasi dan waktu sama.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah mempunyai dalam milikan satu pucuk pistol jenis CZ 85 B Cal.9 luger tanpa kebenaran yang sah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan juga tidak kurang enam sebatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mak Kah Keong.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button