JenayahNasionalNegeri

Dua tekong, 10 nelayan Kuala Kedah curi siput retak seribu ditahan

SIPUT retak seribu di perairan Perlis terus menjadi buruan secara haram oleh nelayan dari jiran sebelah, Kedah. Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, nelayan ini nekad memilih waktu gelap untuk melakukan kegiatan haram ini.

Bagaimanapun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis sentiasa mengawasi tindak-tanduk pencuri siput ini dari semasa ke semasa.

Antara bot yang ditahan disyaki digunakan untuk mencuri siput retak seribu. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Terbaharu dua bot nelayan tempatan Kelas A di dua lokasi berbeza telah ditahan kerana disyaki menangkap siput secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, meskipun rondaan kerap dilakukan, namun aktiviti menangkap siput secara haram giat dilakukan walaupun dalam keadaan bergelap demi mengaut keuntungan.

“Penahanan dibuat berikutan maklumat awal risikan yang diterima mengenai aktiviti penangkapan siput tersebut di sekitar perairan Kuala Perlis ” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk pemeriksaan ketika melakukan OP AMAN.

Beliau berkata, tangkapan pertama dibuat pada kedudukan 2.9 batu nautika barat Kuala Perlis pada pukul 12.31 malam manakala tangkapan kedua dilakukan di kedudukan 5.1 batu nautika barat daya Kuala Perlis sekitar jam 12.54 malam, di mana kedua-dua tangkapan melibatkan dua tekong dan sepuluh kru.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua bot nelayan tersebut berpangkalan di Kuala Kedah
yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Siput retak seribu yang dicuri oleh nelayan dari Kuala Kedah.

Mohd Hashim berkata, dua set sangkar besi berupa tangguk siput dianggarkan bernilai RM 4,000 dan hasil laut jenis siput retak seribu seberat 3,000 kilogram dirampas.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan termasuk dua bot bersama enjin, sangkar besi dan siput retak seribu adalah RM207,000.

Tambahnya, kesemua yang ditahan iaitu warga tempatan berusia antara 22 hingga 49 tahun dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bersama bot serta hasil tangkapan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Maritim Malaysia sentiasa mengambil maklum terhadap aduan awam berhubung sebarang pelanggaran undang-undang yang berlaku di laut dengan memperhebatkan rondaan serta pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162 untuk maklum balas segera. – SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button