Luar Negara

Dua suspek ditahan bunuh, perkosa Dr. Sacharvi dan anak gadisnya

POLIS berjaya menahan dua lelaki yang disyaki melakukan jenayah memperkosa dan membunuh seorang doktor wanita dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun.

Suspek berasal dari Burnley, Lancashire, United Kingdom (UK), masing-masing berusia 51 dan 56 tahun, ditahan pada kira-kira pukul 7 malam waktu tempatan, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan membunuh, memperkosa kedua-dua mangsa dengan niat untuk mendatangkan kecederaan ke atas mangsa.

Mayat Dr. Saman Mir Sacharvi, 49, dan anak perempuannya, Vian Magrio, 14, ditemukan di dalam rumah mereka pada pukul 8.45 pagi, Khamis lalu.

Kelmarin, hasil bedah siasat ke atas Dr. Sacharvi mendapati, mangsa dicekik dan mendiang juga telah diserang sebelum dibunuh.

Manakala anak perempuannya pula dibakar namun belum ada kenyataan rasmi berhubung punca kematian mangsa.

Pegawai yang melakukan siasatan ke atas kebakaran yang berlaku ke atas rumah mangsa mendapati, mayat kedua beranak ini ditemukan bersebelahan.

Waris terdekat kedua-dua mangsa telah pun dihubungi oleh pihak berkuasa.

Mangrio merupakan pelajar di Sekolah Menengah Marsden yang terletak berdekatan dengan Nelson.

Polis Lancashire sedang mengumpul maklumat lanjut berhubung pembunuhan tersebut dan meminta masyarakat yang mempunyai maklumat, agar tampil membantu pihak polis.

Pegawai Penyiasat, Sup. Jon Holmes berkata, mereka mempunyai beberapa maklumat siasatan selain daripada telah membuat dua tangkapan.

“Walau bagaimanapun, ini adalah siasatan yang perlu dijalankan secara teliti. Itulah sebabnya kami memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian, tampil membantu kami.

“Mungkin ada sesiapa yang berada berdekatan dengan Jalan Colne, lokasi tragedi dan ternampak sesuatu yang mencurigakan.

“Jika ada sesiapa yang merakam sesuatu melalui kamera litar tertutup (CCTV) atau webcam, jadilah komuniti yang bertanggungjawab dengan tampil membantu polis dalam memberi maklumat untuk siasatan,” ujar beliau yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah.

Katanya, sesiapa sahaja yang mempunyai sebarang maklumat, walaupun merasakan butiran itu tidak sebesar mana, segeralah hubungi polis.

“Pasukan polis mempunyai barisan pegawai penyiasatan yang berdedikasi untuk menjalankan siasatan berhubung kes pembunuhan kedua-dua mangsa.

“Kita semua bersimpati dengan kejadian yang menimpa ibu dan anak ini dan salam takziah kami hulurkan buat keluarga Dr. Sacharvi dan Cik Magrio,” kata beliau. – SUMBER INDEPENDENCE – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button