Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz berkata, kementeriannya berjaya membawa pulang RM6.6 bilion potensi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM700 juta potensi eksport melalui Misi Perdagangan dan Pelaburannya ke Jepun baru-baru ini.
Katanya, pelaburan berpotensi pula RM23 bilion dan potensi eksport RM2.1 bilion yang sebelum ini diperoleh daripada misi pertama pada Jun.
Katanya, kedua-dua misi ke negara matahari terbit itu telah memperoleh potensi pelaburan berjumlah RM29.6 bilion dan RM2.8 bilion potensi eksport tahun ini.
“Pengumuman baru-baru ini sebanyak RM29.6 bilion dalam potensi pelaburan dan RM2.8 bilion potensi eksport dari Jepun mencerminkan hubungan kukuh, berpanjangan, dan hubungan yang saling menguntungkan antara Malaysia dan Jepun dalam perdagangan dan pelaburan.
“Apa yang penting ialah kebanyakan pelaburan baharu ini adalah daripada sektor yang disasarkan, termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital, selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu kami (NIMP2030),” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, dalam usaha untuk menarik pelaburan untuk menyokong misi ke arah teknologi dan pendigital untuk memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan mencipta peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi serta menyahkarbonkan sektor pembuatan, MITI juga bertekad untuk memastikan pelaburan tersebut direalisasikan dengan segera.
Ini, jelasnya, untuk menghasilkan lebih banyak peluang bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pekerjaan bergaji lebih baik buat rakyat Malaysia.
“Untuk itu, pelbagai pelaburan yang di peringkat persekutuan dan negeri telah dipercepatkan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan (ITACC), dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan (ICCM),” kata Tengku Zafrul.
Difasilitasi oleh agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), misi ini diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MITI dan agensinya juga mengatur Mesyuarat Meja Bulat antara Perdana Menteri dan 25 kapten industri Jepun, serta pertemuan bersemuka ROHM Wako, NEC Corporation, dan Mitsui & Co Ltd.
Turut diadakan pertemuan dengan Miyoshi Oil and Fat Co Ltd, Marubeni Corporation, Nichicon Corporation, dan Itochu Corporation.