Dua lokaliti di Johor dikenakan PKPD libatkan asrama pekerja
DUA lokaliti di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok sehingga 15 Jan 2021, selepas berlaku peningkatan kes positif COVID-19 di asrama pekerja.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu masing-masing adalah Asrama Pekerja Kejora Juara di Bukit Pasir, daerah Muar serta Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2 di daerah Senai.
Beliau berkata PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara melibatkan 17 blok bangunan yang menempatkan 1,828 penghuni dan kesemuanya adalah pekerja warga asing.
Manakala Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2 masing-masing melibatkan dua dan lima blok bangunan, yang menempatkan 4,444 penghuni dan kesemuanya juga adalah pekerja warga asing.
“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes positif COVID-19 di Asrama Pekerja Kejora Juara dan sehingga 31 Dis 2020, sebanyak 338 ujian saringan telah dilaksanakan dengan 212 kes positif direkodkan,” katanya. – BERNAMA