Ekonomi

Tarif AS: Tidak boleh tergopoh-gapah – Anwar

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata telah berhubung dengan pimpinan tertinggi serantau susulan tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balas ke atas Malaysia dan sekitar 180 negara lain Rabu lalu.

Walaupun Anwar berkata impak tarif ‘timbal balas’ 24 peratus ke atas Malaysia mengundang ketidaktentuan, namun beliau yakin negara mampu mendepani impak ekonomi jika Asean teguh bersatu membantu satu sama lain.

“Saya secara peribadi telah berhubung dengan beberapa individu rapat dengan (Presiden AS Donald) Trump,” katanya pada sambutan Aidilfitri di Melaka.

“Dan semalam, menteri luar kita, Mohamad Hasan, menerima panggilan daripada Setiausaha Luar AS Marco Rubio bagi meneruskan rundingan.

“Setiap negara di dunia perlu tegas mempertahankan kepentingan mereka, namun masih ada ruang untuk rundingan.”

Anwar berkata, sepanjang semalam, beliau membincangkan tarif dikenakan dengan pemimpin Asean bagi mencapai kesepakatan, sambil menambah akan berhubung dengan pemimpin China, Jepun, dan Korea Selatan supaya tindakan dilakukan negara nampak rapi.

Menurut pentadbiran Trump, AS berhadapan dengan 47 peratus halangan perdagangan dari Malaysia, di mana dakwaan itu dinafikan Putrajaya. Dalam perintah eksekutif ditandatangani Trump pada Rabu, Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus, berkuat kuasa 9 April.

Kemboja (49%) paling tinggi dikenakan tarif, diikuti Laos (48%), Vietnam (46%), Myanmar (45%), Thailand (37%), Indonesia (32%), Brunei (24%), Filipina (18%), dan Singapura (10%).

“ASEAN harus kuat, tetapi tidak boleh gopoh dalam tindakan kerana belum ada kepastian secara terperinci di mana tindakan itu, setakat mana, apa yang memberikan kelepasan dan kelonggaran, dan apakah mungkin kita teruskan sedikit sebanyak rundingan lagi dengan Amerika Syarikat supaya dapat mengurangkan tekanan,” kata Anwar.

“Tetapi Malaysia sahaja, atau Thailand sahaja, Indonesia sahaja tidak akan cukup kuat sekiranya kita tidak rangkul seluruh kekuatan ASEAN sebagai kekuatan ekonomi untuk berunding dengan semangat kesepakatan itu.

“Saya yakin, insya-Allah, kita akan dapat mengharungi sama-sama. Tetapi dengan kebijaksanaan, dengan kesabaran,” katanya.

Sementara itu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah mengadakan rundingan dengan wakil-wakil dari Vietnam, India dan Israel berhubung tarif baharu yang dikenakan ke atas barangan import, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik laporan CNN.

Menurut laporan itu, Trump sedang berhubung dengan wakil ketiga-tiga negara berkenaan bagi merundingkan perjanjian perdagangan secara individu yang boleh meredakan pelaksanaan tarif yang dicadangkan sebelum tarikh akhir minggu hadapan, memetik sumber sebagai berkata.

Pada Rabu, Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS bermula 5 April, manakala tarif timbal balik yang lebih tinggi terhadap negara dan wilayah yang mencatatkan defisit dagangan terbesar dengan AS akan mula berkuat kuasa pada 9 April.

Beberapa negara telah pun mengumumkan hasrat mereka untuk mengambil tindakan balas terhadap kenaikan tarif itu. China, misalnya, berkata ia akan mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas semua import dari AS bermula 10 April.

Pasaran saham AS turut terjejas dengan kehilangan nilai sebanyak US$6.6 trilion dalam tempoh dua hari, kerugian terbesar dalam sejarah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button